KUALA LUMPUR 23 Feb - Untung bersih Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 merosot sehingga 76.7% kepada RM481 juta daripada RM2.06 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasi dan perkongsian keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.
Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 25% kepada RM8.7 bilion daripada RM6.98 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Peningkatan itu disumbangkan oleh hasil jualan Perstorp Holdings AB dan jumlah jualan yang lebih tinggi selaras dengan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh berbanding ringgit.
PCG merekodkan kadar penggunaan loji yang lebih tinggi sebanyak 100% berbanding 89% pada suku yang sama terutama disebabkan pemulihan berkanun yang lebih rendah dan aktiviti penyelenggaraan loji yang mengakibatkan volum pengeluaran dan jualan lebih tinggi.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), untung bersih PCG susut kepada RM6.32 bilion daripada RM7.35 bilion manakala pendapatan meningkat kepada RM28.95 bilion daripada RM23.03 bilion.
Kumpulan merekodkan pendapatan tertinggi pada tahun kewangan itu didorong peningkatan harga produk yang lebih tinggi di samping pengukuhan nilai dolar AS berbanding ringgit dan juga sumbangan hasil daripada pengambilalihan anak syarikat bahan kimia khusus, Perstorp, baru-baru ini.
Malah, PCG telah memperkenalkan segmen operasi yang baru untuk bahan kimia khusus di bawah penyata kewangan suku keempat FY22, mengikuti pengambilalihan Perstorp.
Ini menyaksikan kumpulan mengisytiharkan pembayaran dividen interim kedua sebanyak 16 sen sesaham yang berjumlah RM1.3 bilion. Jumlah dividen yang diisytiharkan pada FY22 adalah sebanyak RM3.3 bilion, mewakili 52% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATANCI).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, pengambilalihan Perstorp yang selesai pada Oktober 2022 merupakan pencapaian besar untuk kumpulan.
"Dengan kewujudan segmen bahan kimia khusus yang merangkumi Perstorp dan BRB, kini kami boleh menyertai pasaran akhir yang menarik dan berkembang pesat.
"Ini termasuk cat dan salutan, penjagaan diri, dan pemakanan haiwan di samping pelbagai tawaran produk, dan penyelesaian yang lestari, sejajar dengan usaha mempercepatkan pertumbuhan dan rancangan penyahkarbonan kami," katanya.
Menurut beliau, dalam operasi Malaysia, PCG mencapai jumlah pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi selaras dengan kadar penggunaan loji pada suku keempat yang mencecah 100% berbanding 97% pada suku ketiga.
Bagaimanapun, margin turut mengalami penurunan yang ketara pada suku tersebut ekoran daripada harga produk yang lebih rendah disebabkan permintaan global yang berkurangan, di samping kos operasi yang lebih tinggi.
"Meskipun mengalami ketidaktentuan dalam pasaran, PCG tetap mencapai pendapatan bersih tahunan yang membanggakan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham kami," tambahnya.
Mengenai prospek pasaran, beliau menjangkakan cabaran pada separuh pertama 2023 di samping permintaan yang rendah dan kos yang lebih tinggi akibat inflasi, terutamanya untuk perniagaan di Eropah dan AS. -DagangNews.com








