KUALA LUMPUR 12 Jan - Untung bersih Pantech Group Holdings Bhd. meningkat kepada RM34.66 juta bagi suku ketiga berakhir 30 November 2022 berbanding RM20.36 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh itu, pendapatan meningkat kepada RM299.94 juta berbanding RM209.34 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Peningkatan hasil itu dipacu terutamanya menerusi prestasi segmen urus niaga dan pembuatan yang lebih baik pada suku berkenaan.
Pada suku tersebut, segmen urus niaga merekodkan pendapatan luaran yang lebih tinggi sebanyak RM166.61 juta berikutan perolehan projek yang lebih besar sejajar dengan peningkatan aktiviti minyak dan gas.
Sementara itu, segmen pembuatan pula mencatatkan pendapatan luaran yang lebih tinggi sebanyak RM133.33 juta terutamanya disebabkan campuran produk keseluruhan yang lebih baik, permintaan eksport dan margin yang lebih baik untuk kedua-dua bahagian pembuatan keluli karbon dan keluli tahan karat.
Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 November 2022, kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM840.61 juta daripada RM494.33 juta dengan untung bersih meningkat kepada RM92.06 juta daripada RM50.86 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Mengenai prospek kumpulan, Pantech optimis akan merekodkan prestasi yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2023 (FY23) didorong aktiviti ekonomi yang semakin bertambah baik serta peningkatan harga minyak dan gas.
"Harga minyak yang kukuh akan membawa impak positif kepada aktiviti modal berkaitannya seperti meningkatkan perbelanjaan dalam penyelenggaraan kemudahan dan aktiviti menaik taraf dalam industri minyak dan gas.
"Ini seterusnya akan meningkatkan permintaan untuk produk kami di pasaran domestik dan antarabangsa," katanya. - DagangNews.com








