Untung bersih LPI Capital bagi 1QFY22 menurun 25.25% kepada RM61.53 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih LPI Capital bagi 1QFY22 menurun 25.25% kepada RM61.53 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - LPI Capital Berhad merekodkan keuntungan bersih lebih rendah iaitu RM61.53 juta pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2022 (1QFY22) atau penurunan sebanyak 25.25% daripada RM82.31 juta tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan pelaburan yang lebih rendah dan keuntungan anak syarikat insurans, Lonpac Insurance Berhad menyumbang kepada keuntungan lebih rendah kumpulan itu.

 

Pendapatan suku tahunnya juga menurun sebanyak 9.77% kepada RM397.74 juta daripada RM440.79 juta untuk 4QFY21 akibat penurunan 7.2% atau RM28.5 juta daripada pendapatan premium kasar dalam segment insurans am.

 

Keuntungan bersih bagi suku tahun juga menurun sebanyak 15.79% daripada RM73.07 juta untuk 4QFY21 manakala pendapatan juga menurun sebanyak 7.26% daripada RM429.04 juta.

 

Pengerusi kumpulan, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, keuntungan Lonpac pada 1QFY22 terjejas oleh kos tambahan sebanyak RM6.4 juta yang ditanggung akibat banjir yang melanda negara Disember lalu.

 

Beliau berkata, permintaan terhadap insurans dijangka terus meningkat selari dengan pemulihan ekonomi serta pembukaan semula aktiviti perniagaan.

 

"Walaupun kumpulan LPI berdepan pelbagai cabaran dari segi prestasi pada 1QFY22, kumpulan ini yakin dengan saluran pengedaran yang kukuh dan usaha melaksanakan pelan perniagaannya, LPI akan meraih kepurusan yang lebih baik untuk FY22," katanya.

 

Menerusi anak syarikatnya, LPI menaja jamin semua kelas insurans termasuk kebakaran, kenderaan dan marin selain menyediakan pembiayaan perkhidmatan pajakan. - DagangNews.com