Untung bersih Digi susut 21.4% kepada RM220 juta pada suku kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Digi susut 21.4% kepada RM220 juta pada suku kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Julai - Untung bersih Digi.Com Bhd. susut 21.39% kepada RM220.04 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM279.91 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga menurun 4.92% kepada RM1.54 bilion daripada RM1.62 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Sementara itu, untung bersih bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Jun 2022 susut kepada RM456.19 juta daripada RM544.74 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan juga susut kepada RM3.06 bilion daripada RM3.17 bilion. 

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Praveen Rajan berkata, daya tarikan yang baik dalam segmen gentian dan perniagaannya mencerminkan keupayaan kumpulan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat untuk sambungan yang boleh dipercayai dan berkelajuan tinggi apabila penggunaan digital dalam kalangan pengguna dan perniagaan semakin pantas.

 

Katanya, bagi memacu pendigitalan, Digi terus melabur untuk memodenkan rangkaiannya dan memperluaskan akses keterhubungan. 

 

"Ini meletakkan kami dalam kadar dan hala tuju yang betul kerana kami komited untuk menyampaikan kualiti pengalaman internet yang lebih baik untuk pelanggan kami, selaras dengan aspirasi Jendela, serta memperkasa agenda ekonomi digital Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Digi meneruskan pelaburan dalam mengukuhkan kualiti dan ketersediaan rangkaiannya, dengan pelaburan modal (capex) berjumlah RM175 juta, atau nisbah capex kepada jumlah hasil sebanyak 11.4% ketika suku dalam tinjauan.

 

Ini menyokong komitmen syarikat untuk menyampaikan sambungan berkelajuan tinggi dan kualiti pengalaman yang lebih baik kepada pelanggannya, kerana permintaan untuk data terus meningkat.

 

Hasil perkhidmatan Digi meningkat 1.3% bagi suku ke suku kepada RM1.325 bilion pada suku kedua 2022, mencerminkan pelaksanaan strategi syarikat untuk memacu pertumbuhan dalam segmen Pascabayar, Prabayar, Fiber dan B2B. - DagangNews.com