KUALA LUMPUR 30 Nov - CIMB Group Holdings Bhd. kembali mencatat untung pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 dengan keuntungan bersih berjumlah RM1.41 bilion berbanding kerugian bersih RM100.59 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi lebih kukuh itu sebahagian besarnya disebabkan pertumbuhan ketara dalam pendapatan operasi sebanyak 13.7% dan ketiadaan item luar biasa pada suku ketiga 2021 yang berkaitan terutamanya dengan penurunan nilai bukan tunai dalam nilai CIMB Thai, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, untung bersihnya meningkat 19.6% kepada RM4.12 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 berbanding RM3.44 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu dipacu pendapatan operasi yang lebih tinggi, kawalan tekanan kos dan peruntukan yang lebih rendah merentasi pasaran utama.
Dalam tempoh itu, pendapatan operasi teras meningkat 6.2% tahun ke tahun kepada RM14.62 bilion, dengan pertumbuhan pendapatan faedah bersih (NII) sebanyak 6.8%, sebahagian besarnya disebabkan pertumbuhan pinjaman yang kukuh dan peningkatan dalam margin faedah bersih (NIM) di Malaysia dan Singapura.
Pendapatan bukan faedah teras (NOII) juga kembali pulih, berkembang 4.2% tahun ke tahun kepada RM3.49 bilion didorong oleh pendapatan fi dan komisen yang lebih kukuh serta pemulihan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang lebih tinggi.
Momentum jumlah pertumbuhan pinjaman kasar CIMB juga berterusan, meningkat 9% tahun ke tahun didorong permintaan kukuh merentasi pasaran dan segmen utama seiring dengan pertumbuhan ekonomi serantau selepas pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pendapatan operasi yang kukuh didorong oleh pertumbuhan pinjaman merentas semua perniagaan dan pasaran, disiplin kos yang berterusan dan peruntukan yang lebih rendah menyumbang kepada prestasi positif kumpulan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022.
"Ini mencerminkan pemulihan ekonomi pasca pandemik dalam ekonomi serantau yang kami beroperasi, serta momentum positif daripada inisiatif yang dilaksanakan di bawah pelan strategik Forward23+ dalam membentuk semula portfolio dan membuat pelaburan tertumpu dalam segmen yang menguntungkan," katanya.
Beliau optimis kumpulan berada di landasan yang kukuh untuk melebihi sasaran tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan mengekalkan fokus terhadap pelan strategik Forward23+ bagi merealisasikan matlamat sebagai peneraju bank ASEAN tertumpu.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan pendirian berhati-hati untuk tahun hadapan kerana kami menjangkakan sedikit penurunan dalam permintaan pinjaman memandangkan persekitaran kadar faedah tinggi dan persaingan sengit untuk deposit selaras dengan aktiviti ekonomi," jelasnya. - DagangNews.com








