Untung bersih 3QFY22 Scientex turun 19.61% kepada RM88.3 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 3QFY22 Scientex turun 19.61% kepada RM88.3 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Scientex Berhad merekodkan untung bersih RM88.3 juta untuk suku ketiga berakhir 30 April 2022 iaitu penurunan 19.61% berbanding RM109.88 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan pembungkusan plastik merekodkan pendapatan sebanyak RM993.84 juta atau peningkatan 1.75% berbanding sebelum ini.

 

Scientex dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, segmen pembungkusan menyumbang keuntungan operasi yang lebih rendahsebanyak RM57 juta berbanding RM64.5 juta kesan daripada peningkatan kos bahan mentah serta kos pengangkutan.

 

Pendapatan hartanah mencatatkan penurunan 20% dari tahun ke tahun kepada RM244.2 juta akibat penangguhan perakuan penyiapan dan pematuhan projek di Johor dan Melaka kerana kekurangan bahan untuk infrastruktur bekalan kuasa.

 

Bagi tempoh sembilan bulan untung bersih Scientex adalah RM284.89 juta atau 9.44% lebih rendah berbanding RM314.58 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 7% kepada RM2.87 bilion dan kumpulan itu menjangkakan kapsiti dan keupayaan untuk berkembang berada di landasan yang betul.

 

"Kilang pembuatan filem pembungkusan robotik kumpulan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2022.

 

"Perhasilan inovasi produk yang mampan dengan nilai tambah adalah selaras dengan keperluan pelanggan adalah kekal sebagai fokus teras kumpulan dalam usaha untuk mengembangkan kehadiran kami di pasaran," katanya.

 

Sementara itu, bahagian hartanah kekal berhati-hati terhadap pelancaran baharu yang dijadualkan.

 

"Bagi suku tahun akan datang, bahagian itu telah merancang untuk melancarkan beberapa fasa baharu dalam projek sedia ada di Selangor, Melaka, Johor dan pelancaran sulung projeknya masing-masing di Seremban, Negeri Sembilan dan Sungai Petani, Kedah," katanya. - DagangNews.com