Unjuran untung bersih teras UEM Sunrise bagi FY23-25 dikurangkan ekoran prestasi 9MFY23 di bawah jangkaan - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran untung bersih teras UEM Sunrise bagi FY23-25 dikurangkan ekoran prestasi 9MFY23 di bawah jangkaan - penganalisis

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Nov - Keuntungan bersih teras UEM Sunrise Berhad dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) di bawah jangkaan Maybank Investment Bank (Maybank IB) dan AmInvestment Bank Research, mendorong pengurangan unjuran keuntungan bersih teras kumpulan bagi FY23-25.

 

Maybank IB berkata keuntungan bersih teras kumpulan itu hanya merangkumi anggaran FY23 firma dan konsensus sebanyak 52% dan 60% berikutan ketiadaan jualan tanah pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23).

 

Firma penyelidikan itu menurunkan unjuran pendapatan UEM Sunrise bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 10% hingga 16% memandangkan jualan hartanah kumpulan dijangka menurun pada 2024 memandangkan ketiadaan jualan en bloc.

 

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), firma penyelidikan itu berkata kumpulan itu telah mencatat jualan RM1.8 bilion, melebihi sasaran jualan UEM Sunrise dan firma itu masing-masing sebanyak 18% dan 90%.

 

Ini didorong terutamanya oleh jualan enbloc di Melbourne yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM874 juta, di samping pelancaran dua projek pada separuh kedua tahun ini iaitu Residensi ZIG di Kiara Bay (GDV: RM646 juta; 8% dijual) pada Septermber 2023 dan Intrika di Bangi (GDV: RM77 juta; 6% dijual) pada Oktober 2023.

 

Memandang ke hadapan, Maybank IB berkata jualan 2024 mungkin mengalami penurunan tahun ke tahun, memandangkan ketiadaan jualan en bloc.

 

“Kami menurunkan ramalan pendapatan FY23, FY24 dan FY25 sebanyak 13%, 10% dan 16% selepas mengambil kira andaian jualan lebih rendah sebanyak 11% kepada RM1.5 bilion untuk FY24 sambil mengekalkan andaian jualan FY23 pada RM1.95 bilion.

 

“Kami juga telah menurunkan andaian penjualan tanah sebanyak 15%, 20% dan 20% untuk FY23, FY24 dan FY25,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, Maybank IB menurunkan taraf saranan saham UEM Sunrise kepada ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 68 sen sesaham daripada 60 sen sebelumnya.

 

Sementara itu, AmInvestment menurunkan unjuran keuntungan bersih teras UEM Sunrise bagi FY23 sebanyak 12% ekoran pendapatan lebih lemah dan kos pemasaran lebih tinggi.

 

Ini adalah susulan keuntungan bersih teras 9MFY23 kumpulan itu hanya merangkumi anggaran tahun penuh firma dan Street’s sebanyak 46% dan 53%.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi pada 77 sen daripada 60 sen sebelumnya selepas mengambil kira sentimen pasaran hartanah Johor yang bertambah baik, khususnya di Iskandar Puteri serta trend penurunan unit tidak terjual dan peningkatan nilai bank tanah di Iskandar Puteri

 

Firma itu menjangkakan pengebilan kemajuan UEM Sunrise akan menyusul dari FY24 dan seterusnya, didorong oleh sumbangan daripada peningkatan dalam pelancaran baharu pada FY23.

 

Pada pukul 11:18 pagi ini, saham UEM Sunrise telah menurun 1.5 sen atau 1.9% kepada 78.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM3.97 bilion.  - DagangNews.com