KUALA LUMPUR 28 April - Kenanga Research meningkatkan unjuran keuntungan bersih IGB Real Estate Investment Trust bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 6.2% dan 5.7%.
Unjuran keuntungan bersih tersebut berjumlah RM362.1 juta bagi FY23 dan RM375.4 juta untuk FY24, manakala unjuran pengagihan seunit (DPU) kasar firma itu yang sepadan kini masing-masing pada 10.5 sen (daripada 9.9 sen) dan 10.8 sen (daripada 10.2 sen) membayangkan hasil sebanyak 5.9% dan 6.3%.
Mengulas mengenai keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih yang meningkat 13% tahun ke tahun (YoY) kepada RM96.2 juta, menyumbang 28% daripada anggaran firma dan konsensus setahun penuh.
Selain itu, DPU pada 1QFY23 sebanyak 2.80 sen melebihi unjuran FY23 firma tersebut iaitu 9.9 sen.
“Sementara prestasi pendapatan meningkat disebabkan pendapatan sewa lebih kukuh daripada jangkaan, selepas mengambil kira perbelanjaan operasi hartanah yang lebih tinggi iaitu melonjak 38% YoY kepada RM36.1 juta terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan utiliti yang lebih tinggi dan kos pembayaran balik, pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat 10% YoY kepada RM118.6 juta,” kata firma itu dalam nota hari ini.
Mengikut sumbangan segmen, firma itu berkata Mid Valley Megamall mencatatkan NPI sebanyak RM84.7 juta, meningkat 11% YoY manakala The Gardens Mall menyumbang baki NPI sebanyak 8% YoY atau RM33.9 juta, dengan kadar penghunian 100% di kedua-dua aset hartanah tersebut pada akhir Mac 2023.
Menurut firma itu, suku pertama menyaksikan purata pendapatan sewa bulanan kasar, melepasi paras 2019 untuk kedua-dua pusat membeli-belah sebanyak 13% dan 22%.
“Memandangkan persekitaran operasi telah menjadi normal selepas pandemik, IGBREIT berkemungkinan akan melihat corak pendapatan lebih stabil pada masa hadapan, walaupun terdapat kelaziman cabaran dalam prospek ekonomi makro dan persekitaran inflasi yang meningkat,” tambahnya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.80 sesaham daripada RM1.65.
Setakat pukul 11:00 pagi hari ini, kaunter IGBREIT menokok 4 sen atau 2.3% kepada RM1.76 sesaham, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM6.43 bilion. -DagangNews.com








