Unjuran pendapatan Pintaras Jaya bagi FY24-25 dinaikkan berikutan jangkaan kos projek semakin baik – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran pendapatan Pintaras Jaya bagi FY24-25 dinaikkan berikutan jangkaan kos projek semakin baik – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Unjuran pendapatan Pintaras Jaya Bhd bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing dinaikkan 1% dan 0.3% dengan mengambil kira kos projek sedia ada adalah lebih baik daripada sebelumnya, kata Maybank Investment Bank.

 

Maybank IB turut menaik taraf saranan saham Pintaras Jaya kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM1.70 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia berhati-hati optimistik terhadap prospek kumpulan bagi FY24.

 

“Buku pesanan tertunggak adalah RM230 juta pada akhir Jun 2023, berbanding RM240 juta ketika akhir Jun 2022, dengan andaian RM280 juta pekerjaan baharu pada FY23.

 

“Cabaran bagi FY24, menurut pengurusan, adalah margin yang munasabah daripada pekerjaan yang diperoleh dan membina semula buku pesanan dengan pekerjaan yang menguntungkan.

 

“Dari segi sektor, prospek adalah lebih baik dengan jangkaan kontrak Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang dan projek utama dalam perancangan yang lebih baik di Singapura pada separuh kedua tahun depan seperti lanjutan Changi T2, T5, sambungan Marina Bay Sands & Resorts World,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini, sambil menambah bahawa harga plat timah juga menurun.

 

Menurut Maybank IB, kerugian dalam pembinaan di Malaysia telah mengimbangi keuntungan operasi di Singapuran.

 

Keuntungan pembuatan dalam FY23 lebih rendah tahun ke tahun walaupun pendapatan lebih tinggi 6% disebabkan kos pengeluaran yang tinggi.

 

“Kami menyemak naik keuntungan bersih teras FY24-25 dan memperkenalkan FY26.

 

“Dari segi kos, kami berpendapat bahawa ia semakin baik daripada sebelum ini, didorong oleh projek sedia ada yang telah memberikan peruntukan yang diperlukan.

 

“Cabaran utama sekarang adalah penambahan buku pesanan, kami telah menyarsarkan RM300 juta pada FY24. Secara positifnya, kunci kira-kira kekal dalam tunai bersih sebanyak RM115 juta (70sen sesaham) setakat akhir Jun 2023,” katanya.

 

Pada waktu penulisan, saham Pintaras Jaya kekal pada RM1.50 dengan permodalan pasaran sebanyak RM248.8 juta. - DagangNews.com