Unit perniagaan DNeX, Ping Petroleum kembangkan portfolio operasi di Laut Utara | DagangNews Skip to main content

Unit perniagaan DNeX, Ping Petroleum kembangkan portfolio operasi di Laut Utara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 April - Dagang Nexchange Bhd's (DNeX) menerusi unit perniagannya, Ping Petroleum UK PLC mengembangkan porfolio operasi di Laut Utara dengan penambahan tiga lesen.

 

Ping Petroleum dalam satu kenyataan berkata, dua daripada lesen itu adalah untuk medan Glenn dan Hutton, ia adalah daripada pusingan pelesenan ke-33 UK manakala lesen ketiga adalah bagi medan Pilot selepas mereka menyelesaikan pemerolehan 81.25% pegangan daripada Orcadian Energy.

 

Katanya, kawasan baharu itu membawa sumber tambahan kepada porfolio Pelantar Benua UK yang kini melebihi 100 MMboe di tengah Laut Utara.

 

Syarikat itu juga terus menyokong operasi Anasuria yang merupakan antara pengendali paling cekap di Laut Utara.

 

"Seiring dengan minat Fyne dan kemajuan Avalon, lesen tambahan ini mewujudkan portfolio pembangunan yang besar untuk perniagaan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pengarah Urusan Ping Petroleum, Zainal Abidin Jalil berkata, pihaknya akan menggunakan kemahiran teknikal daripada tenaga pakar yang berpangkalan di Aberdeen dan Kuala Lumpur untuk menghasilkan nilai yang signifikan dengan kos serta kadar pelepasan yang sangat rendah.

 

Beliau berkata, lesen-lesen itu berkemungkinan menimbulkan halangan teknikal dan pihaknya bersedia untuk menanganinya.

 

"Selain itu, cabaran komersial juga perlu diberikan pertimbangan. Ping merupakan pengendali terbaik bagi mencari penyelesaian yang sesuai untuk kedua-dua cabaran. 

 

"Kami menjangkakan projek-projek ini berpotensi menghasilkan minyak pertama tidak lama lagi selepas berakhirnya unjuran Levi Keuntungan Tenaga (EPL)," katanya.

 

Beliau berkata, syarikat itu kini merancang untuk memulakan kajian bawah tanah dan kejuruteraan bagi menilai konsep pembangunan terbaik dengan kadar kecekapan maksimum selain menyelaraskan strategi peralihan tenaga.- DagangNews.com