KUALA LUMPUR 11 April - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX), menerusi anak syarikat 90% miliknya, Ping Petroleum Limited, menerima surat 'tanpa bantahan' daripada North Sea Transition Authority (NSTA) bagi konsep cadangan pembangunan penemuan Avalon di Laut Utara Tengah, United Kingdom (UK).
Tahun lalu, Ping mengumumkan pembelian baki 50% kepentingan dalam Blok 21/6b Laut Utara Tengah, Lesen P.2006, mengandungi pembangunan minyak Avalon daripada Summit Exploration and Production Limited.
Pengambilalihan kepentingan daripada anak syarikat milik penuh Sumitomo Corp. itu menjadikan pemilikannya kepada 100%.

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, penerimaan 'tanpa bantahan' terhadap konsep pembangunan yang dicadangkan menunjukkan peluang penting untuk mengembangkan dan mempelbagaikan portfolio aset minyak Ping selaras dengan pengeluaran dan sasaran pelepasan-pengurangan UK.
Katanya, konsep itu terdiri daripada pengikat telaga pengeluaran Avalon ke kemudahan penyimpanan, pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPSO) yang digunakan semula, mempunyai ullage tambahan untuk menyediakan laluan keluar bagi penemuan yang terkandas berhampiran.
"Perbincangan masih lagi berjalan dengan pengawal selia UK dan rantaian bekalan bekalan untuk nyahkarbon pembangunan berkenaan melalui penyepaduan dengan Floating Offshore Wind," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat itu kini akan memuktamadkan perancangan pembangunan konsep dan menumpukan kepada keperluan teknikal serta mengenal pasti kos utama bagi projek tersebut sebagai persediaan untuk menyerahkan Pelan Pembangunan Lapangan Avalon, dengan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dijangka selewat-lewatnya tahun ini.
Dengan anggaran penemuan sebanyak 23 juta tong minyak, pengeluaran daripada aset kedua lapangan minyak Ping dijadualkan bermula pada pertengahan 2024 dan 2025, tertakluk kepada ketersediaan bahan dan peralatan utama.
Menurut Syed Zainal Abidin, langkah seterusnya bagi Ping ialah mengemukakan cadangan pembangunan lapangan Avalon kepada NSTA pada suku seterusnya.
Katanya, setelah kelulusan diperoleh, syarikat akan meneruskan program pembangunan sepenuhnya.
"Lapangan Avalon bercadang untuk mengeluarkan sebanyak 20,000 tong setiap hari di peringkat awal, menyediakan peningkatan bahan dalam pengeluaran dan mempelbagaikan asas aset," jelasnya. - DagangNews.com








