Uniqlo, Universiti Malaya pupuk pembangunan bakat pelajar Fakulti Perniagaan dan Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Uniqlo, Universiti Malaya pupuk pembangunan bakat pelajar Fakulti Perniagaan dan Ekonomi

(Dari kiri) Profesor Dr. Yusniza Kamarulzaman dan Yuki Yamada menandatangani MoU secara rasmi hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Uniqlo telah menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Malaya (UM) bagi memupuk pembangunan bakat dan melaksanakan program latihan amali bersesuaian untuk pelajar dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.

 

Uniqlo dalam satu kenyataan media hari ini berkata memorandum persefahaman (MoU) yang berkuat kuasa serta merta bagi tempoh 24 bulan tersebut merupakan kerjasama pertamanya dengan universiti Malaysia dan menonjolkan komitmen bersama kedua-dua pihak bagi membangunkan generasi peneraju perniagaan mahir dalam sektor runcit.

 

Syarikat runcit pakaian itu berkata melalui latihan amali, pelajar akan menjalani program menyeluruh dengan menghabiskan empat minggu di ibu pejabat Uniqlo dan lapan minggu di kedai, memperoleh pengalaman praktikal dan nyata dalam industri runcit.

 

Selain itu, dua peserta terbaik akan berpeluang memulakan perjalanan selama dua minggu ke Uniqlo Jepun, memperkayakan lagi pemahaman dan kepakaran mereka.

 

"Sejajar dengan tonggak kemampanan Uniqlo: People, Planet, and Society, kerjasama ini adalah tanda komitmen terhadap tonggak rakyat (people), dengan meraikan kepelbagaian dan keperibadian, memastikan peluang yang sama untuk pertumbuhan kerjaya," ulas Ketua Eksekutif Pegawai Uniqlo Singapura dan Malaysia, Yuki Yamada.

 

Menurut Yamada, kerjasama dengan UM ini menandakan satu langkah penting ke arah memupuk golongan bakat terbaik dari universiti itu untuk membangunkan pelajar menjadi pemimpin masa depan dalam Uniqlo.

 

“Inisiatif dengan UM juga sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 untuk memupuk bakat masa depan dengan kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan dengan industri," tambahnya.

 

Menurut Uniqlo, MoU itu juga bertujuan untuk mewujudkan saluran Calon Pengurus Uniqlo (UMC), mempromosi kepelbagaian dengan menyepadukan bakat daripada pelbagai latar belakang sebagai pelatih bagi memupuk keterangkuman di tempat kerja.

 

Tambahnya, UMC menyediakan pelajar dengan bonus, perlindungan perubatan dan latihan khusus dalam kemahiran penting seperti kepuasan pelanggan, pengurusan produk dan jualan, dengan matlamat membentuk mereka menjadi pengurus kedai dan pemimpin global masa depan.  - DagangNews.com