UNIMY meterai MoU dengan 3 universiti Indonesia ke arah wujudkan negara digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UNIMY meterai MoU dengan 3 universiti Indonesia ke arah wujudkan negara digital

 

KUALA LUMPUR 31 Dis - University Malaysia of Computer Science & Engineering (UNIMY) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga universiti Indonesia untuk membuka jalan bagi kerjasama akademik dan penyelidikan yang lebih besar ke arah pembentukan sebuah negara digital.

 

MoU dengan Universitas Dian Nuswantoro, Institute of Informatics and Business Darmajaya dan Universitas Amikom Purwokerto juga bertujuan untuk meningkatkan mobiliti pelajar dan kakitangan antara UNIMY dan institusi berkenaan.

 

Naib Canselor UNIMY Prof Datuk Dr Razali Muhamad dalam kenyataannya berkata memorandum berkenaan adalah langkah positif dalam merealisasikan agenda transformasi digital kedua-dua negara. 

 

“Pemeteraian MoU ini adalah satu daripada banyak langkah bermakna kami ke arah membina jangkauan lebih besar di rantau ini dan saya berharap dapat melibatkan semua pihak untuk memupuk dan memperkayakan usaha penyelidikan, menjalankan lebih banyak kerjasama akademik dan menjalin hubungan yang lebih erat untuk manfaat kedua-dua negara kita.

 

“Kami melihat inisiatif penglibatan ini sebagai peluang keemasan bagi semua pihak yang terlibat untuk berkhidmat dan meminjamkan kepakaran bagi pertukaran idea yang menyeluruh sambil melahirkan graduan yang boleh dipasarkan dan berdaya saing, dengan pengayaan dalam pendedahan akademik dan budaya,” tambah beliau.

 

Memandangkan tawaran akademik yang sama daripada institusi berkenaan, Ketua Pejabat Kolaborasi Antarabangsa UNIMY, Prof Dr. Nanna Suryana Herman berkata, MoU itu akan meningkatkan momentum antara UNIMY dan ketiga-tiga universiti itu sambil menyerlahkan peluang perkongsian lain seperti penyelidikan dan inovasi.


 

unimy

 


“MoU itu juga akan menyaksikan pembangunan bersama ke arah penubuhan program dwi dan/atau ijazah bersama untuk program prasiswazah dan/atau pascasiswazah yang akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan berterusan serta pengembangan pengetahuan.

 

“Melalui (MoU) ini, UNIMY menyasarkan untuk mempunyai pelan hala tuju yang akan mengukuhkan lagi keupayaan kami dalam pelbagai bidang seperti e-sukan, Internet benda (IoT), pemasaran digital dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan sama. - DagangNews.com