SUNGAI PETANI 2 Ogos – Unilin (Malaysia) Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama strategik dengan GSPARX, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memberi tumpuan kepada penawaran rumusan tenaga boleh Baharu.
Kolaborasi ini menjadi penanda aras penting yang menyaksikan Unilin menjadi pemain terbesar bagi segmen hiasan dalaman serta industri pembinaan di Kedah yang beralih ke sistem solar.
GSPARX bersama Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) selaku rakan kerjasama tenaga hijau telah menyempurnakan pemasangan panel solar di premis kilang Unilin di Sungai Petani bagi menjana tenaga solar sehingga 2,830.73 kilowatts peak (kWp).
Pemasangan solar PV ini, di bawah perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) selama 15
tahun, akan memberi manfaat terhadap penjimatan sehingga RM11.02 juta dalam tempoh 15 tahun.
Jumlah itu mampu untuk mengurangkan lepasan karbon dioksida (CO₂) di dalam kuantum 1,348 tan metrik setahun, bersamaan dengan penanaman 20,393 anak pokok untuk 10 tahun atau pelepasan karbon daripada 274 kenderaan setahun di atas jalan raya seiring dengan matlamat mencapai ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).

Pengurus kilang Unilin Malaysia, Frank Poels berkata, Unilin ingin mewujudkan masa depan yang mampan daripada tiga tahap; Rumah Planet, Rumah Anda dan Rumah Kita.
"Ia diterjemahkan kepada satu matlamat yang bercita-cita tinggi oleh Unilin memandangkan kami ingin mencapai sifar bersih bagi iklim serta karbon neutral, menjelang 2025.
"Sehingga hari ini, kami sudahpun dikuasakan oleh tenaga boleh baharu sehingga 43%. Selari dengan matlamat
pembangunan kelestarian, Unilin kini semakin agresif terhadap pelaburan tenaga hijau di fasilitinya sendiri,” kata Poels. - DagangNews.com








