LUMUT 10 Mei - Empat projek pelancongan lestari akan dilaksanakan di Manjung menerusi geran sebanyak RM962,862 yang dibiayai Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Melalui projek ini, UNDP akan memberikan khidmat nasihat teknikal, input polisi pelancongan tempatan dan latihan bagi memastikan keberkesanan program.
Penerimanya ialah Laman Karya Lumut (Lakar), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Persatuan Kutien Ayer Tawar, Pulih Art Studio Lumut dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Manjung telah terpilih bersama dua daerah lain iaitu Mersing, Johor dan Setiu (Terengganu) bagi menerima peruntukan tersebut.
Projek pelancongan lestari adalah antara usaha untuk menangani kesan pandemik Covid-19 ke atas sektor pelancongan domestik dengan meningkatkan daya tahan dalam kalangan komuniti dan perniagaan.
Ia juga bagi menambah baik pengurusan risiko untuk mengurangkan impak negatif dan potensi eksploitasi aset semula jadi dan budaya.
Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, pihaknya sebagai penyelaras bersyukur empat projek itu terpilih menerima pembiayaan UNDP.
"Kita berbangga apabila menjadi tiga penerima daripada 151 pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.
"Ia selepas agensi itu membuat tapisan terhadap cadangan projek yang dikemukakan dari seluruh negara," ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, majlis menandatangani kontrak bersama UNDP dengan empat pihak terlibat telah dimeterai di Dewan Anjung Perdana MPM.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Pembangunan Inklusif dan Pertumbuhan UNDP, Asfaazam Kasbani. - DagangNews.com








