UNDP Malaysia jalin kerjasama dengan kerajaan lancar Projek Pemulihan Pelancongan Mampan | DagangNews Skip to main content

UNDP Malaysia jalin kerjasama dengan kerajaan lancar Projek Pemulihan Pelancongan Mampan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia melancarkan projek Pemulihan Pelancongan Mampan, diikuti dengan Dialog Dasar, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kewangan.

 

UNDP Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Projek Pelancongan Mampan tertumpu kepada cita-cita kerajaan untuk menangani kesan pandemik COVID-19 ke atas sektor pelancongan domestik dengan meningkatkan daya tahan dalam kalangan komuniti yang disasarkan, serta menambah baik pengurusan risiko untuk mengurangkan komodifikasi dan potensi eksploitasi aset semula jadi dan budaya. 

 

Menurutnya, ia selaras dengan Dasar Pelancongan Negara (NTP) 2020-2030 Kementerian Pelancongan, yang menyokong keterangkuman, kemampanan, inovasi dan pendigitalan dalam transformasi sektor pelancongan Malaysia.

 

"Sebagai peneraju program untuk projek itu, UNDP Malaysia akan melibatkan komuniti, pengendali pelancongan, dan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) di lokasi terpilih, dengan tujuan meningkatkan kesedaran tentang kemampanan dan meningkatkan perpaduan dalam kalangan pihak berkepentingan," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, pelaburan dalam pembinaan kapasiti, pembangunan pengetahuan teknikal, dan inovasi digital juga akan dijalankan dengan bimbingan daripada Kementerian Pelancongan. 

 

Katanya, produk dan perkhidmatan ekopelancongan perintis juga akan dibangunkan untuk replikasi selanjutnya di lokasi lain.

 

"Projek itu akan dipandu di tiga kawasan iaitu Manjung, Perak; Setiu, Terengganu dan Mersing, Johor. Pihak berkepentingan daripada komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi sektor awam dan sektor kerajaan di ketiga-tiga lokasi telah dirujuk dalam reka bentuk bersama projek," katanya.

 

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pentadbir Bersekutu UNDP, Usha Rao-Monari berkata, sejak sedekad lalu, UNDP telah memulakan perjalanan untuk menyokong kerajaan di seluruh dunia dengan menasihati ekosistem pelancongan tempatan yang lebih mampan, pengurusan sisa dan mata pencarian masyarakat antara lain. 

 

Katanya, bersama rakan kongsi, UNDP menyokong keseimbangan yang mampan antara aktiviti berkaitan pelancongan dan melindungi alam sekitar.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Saraya Arbi pula berkata, pandemik ini telah memberi peluang kepada pelancongan untuk memulakan semula sebagai destinasi yang kaya dengan budaya dan alam sekitar dalam membina "Negara Pelancongan".

 

Selain itu, Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Tourism Productivity Nexus (TPN) sedang dalam proses membangunkan platform atau laman mikro untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pelancongan yang mampan dan bertanggungjawab.

 

Pelancaran projek itu juga diikuti dengan Dialog Dasar, mengenai dasar pelancongan dan amalan pelancongan mampan. Dialog Dasar itu dihadiri oleh lebih 300 penggubal dasar dan rakan kongsi pembangunan. - DagangNews.com