UMW Toyota catat peningkatan 8.5% jualan keseluruhan kepada 57,008 unit sehingga Julai 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMW Toyota catat peningkatan 8.5% jualan keseluruhan kepada 57,008 unit sehingga Julai 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - UMW Toyota Motor mencatatkan peningkatan jualan keseluruhan sebanyak 8.5% kepada 57,008 unit kenderaan setakat Julai 2023, berbanding 52,548 unit yang didaftarkan pada Julai 2022.

 

Selain itu, jualan bulanan yang dicatatkan pada Julai 2023 juga meningkat sebanyak 25.8% berbanding Julai 2022.

 

Toyota juga mencatatkan rekod kukuh pada bulan lepas dengan jumlah jualan sebanyak 8,349 unit (Toyota + Lexus), terdiri daripada 8,200 unit untuk Toyota dan 149 unit untuk Lexus. 

 

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, pertumbuhan berterusan dalam jumlah jualan pihaknya adalah bukti daya tarikan kereta Toyota kepada pembeli yang menghargai prestasi dan kebolehpercayaan. 

 

"Untuk mengembangkan lagi pengalaman memandu Toyota kepada lebih ramai pengguna, kami berbesar hati untuk menjadikan pemilikan Toyota lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.

 

"Dengan pertumbuhan pusat jualan dan perkhidmatan kami, serta perkhidmatan 'extra mile' kami bersama-sama dengan promosi bulanan yang memudahkan mereka memiliki Toyota," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Sementara itu, pelanggan di Penampang kini mempunyai akses yang lebih baik kepada perkhidmatan Toyota dengan pembukaan Armada KK Automobile, pengedar Toyota sejak 2005, daripada pusat 1S kepada 3S. 

 

 

toyota
Datuk Ravindran K

 

 

Pusat baharu itu dibuka secara rasmi di Batu 6, Jalan Penampang, menawarkan kemudahan Pusat Jualan & Servis kepada pelanggan di Penampang dan kawasan sekitarnya di Kota Kinabalu.

 

Pusat 3S baharu itu dilengkapi dengan 18 ruang servis untuk memenuhi keperluan pemandu Toyota.

 

Di Semenanjung Malaysia, penduduk Muar mengalu-alukan kehadiran pusat Toyota 4S baharu apabila E.S. Yang Motor, pengedar Toyota sejak 1994, secara rasmi membuka cawangan 4S baharunya di Jalan Dato' Haji Kosai, menggabungkan cawangan 1S, 2S dan Body & Paint yang diasingkan sebelum ini. 


 
Sementara itu, siri perlumbaan dalam talian TOYOTA GAZOO Racing (GR) GT Cup Malaysia turut dilancarkan pada Julai, yang baharu dijenamakan semula daripada Kejohanan Esports GR Velocity. 

 

Kini dalam tahun keenam berturut-turut, siri ini merupakan salah satu acara perlumbaan dalam talian yang paling menguntungkan di negara ini, menawarkan sehingga RM90,500 hadiah wang tunai tahun ini,  yang tertinggi dalam sejarah Piala GR GT Malaysia. 

 

Buat pertama kali tahun ini, Toyota satu-satunya pengeluar dan jenama kereta yang terlibat dalam e-perlumbaan, turut membawa pengalaman perlumbaan simulator ke universiti di seluruh Malaysia.

 

Ravindran berkata, pelancaran siri perlumbaan dalam talian TOYOTA GAZOO Racing (GR) GT Cup Malaysia memperluaskan lagi misi Toyota untuk menyumbang ke arah pembangunan sukan permotoran di Malaysia, dengan menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan belia dan membawa sukan permotoran kepada orang ramai. - DagangNews.com