KUALA LUMPUR 3 Mac - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalin kerjasama bersama Bosch Rexroth Sdn Bhd dalam aktiviti pembangunan kurikulum untuk mengukuhkan kerjasama universiti-industri.
Kerjasama itu akan melibatkan latihan industri, pertukaran pelajar, menawarkan penambahbaikan kursus pembelajaran dan membuat modul latihan industri berasaskan pensijilan daripada Jerman sebagai rujukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth Malaysia, Darren Chan Chon Hoe berkata, industri 4.0 adalah tonggak strategik, dan ia secara asas akan mengubah cara pihaknya mengeluarkan produk dan cara mereka bekerjasama dengan mesin.
"Bagi kami, industri 4.0 bukan tentang menggantikan pekerja sedia ada dengan robot dan komputer. Ia adalah mengenai membina bakat dan meningkatkan kemahiran agar sesuai dengan ekonomi digital, memacu kecekapan dan daya saing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, majlis tersebut menyaksikan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserie Zainuddin bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Darren Chan.
Menurut Yuserie, kerjasama melalui Akademi Bosch Rexroth di Jerman melibatkan penempatan pelajar dengan penggunaan peralatan di Malaysia dan luar negara serta program pensijilan untuk pelajar terutamanya dalam program Sarjana Muda Teknologi, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dan Sarjana Muda Kejuruteraan.
Katanya, UMP sebagai universiti teknikal (MTUN) yang bercirikan teknologi dan kejuruteraan, sentiasa bercita-cita untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.

"Kami amat mengalu-alukan rangkaian kerjasama dengan rakan industri dalam membangunkan program yang dipersetujui dan aktiviti untuk manfaat bersama.
“Kerjasama strategik ini selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam menghasilkan graduan holistik dan bakat tempatan dengan modul latihan komprehensif diiktiraf di seluruh dunia dan disesuaikan untuk menangani cabaran industri IR4.0,” katanya.
Tambahnya, pelajar UMP akan mendapat pengalaman praktikal dalam automasi industri peralatan, yang akan menambah nilai kepada graduan UMP, terutamanya dalam persaingan pasaran kerja masa kini.
"UMP berharap dapat meneroka kerjasama lain dalam jangka masa panjang, terutamanya dalam bidang kecekapan dan program pembangunan pelajar, serta kemahiran semula lebih luas.
Akademi Bosch Rexroth UMP dibangunkan dengan tiga tonggak utama: untuk mencapai Aspirasi TVET (MTUN), membangunkan Pusat Latihan Lanjutan Berteknologi Tinggi IR4.0 dan menyokong Agenda Nasional IR4.0 sekaligus pelajar boleh mendapat pengalaman dalam peralatan automasi paling canggih daripada industri. - DagangNews.com








