KUALA LUMPUR 26 Julai – UMedic Group Bhd. bermula cemerlang dalam penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan harga sahamnya dibuka sebanyak 50 sen, iaitu 56.25% atau 18 sen lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 32 sen.
Disenaraikan di bawah sektor penjagaan kesihatan dengan nama UMC dan kod saham 0256, ia menyaksikan sejumlah 11.14 juta saham diniagakan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif UMedic, Lim Taw Seong berkata, pihaknya berasa rendah diri dengan sokongan yang menggalakkan seperti yang ditunjukkan oleh kadar lebihan langganan sebanyak 46.81 kali, menunjukkan sentimen pasaran yang kukuh terhadap industri peranti perubatan yakekal rancak berikutan minat yang semakin meningkat dalam penjagaan kesihatan berkualiti.
Katanya, sepanjang 20 tahun, syarikat semakin berkembang daripada produk berkaitan pergigian kepada peranti perubatan dan bahan guna untuk segmen pemasaran dan pengedaran.
"Selain itu, kami juga berjaya menceburi segmen pembuatan dan akan terus mengembangkan jejak kami dengan memperkenalkan produk baharu dalam pasaran.
"Apabila UMedic semakin berkembang, kami akan kekal dengan moto untuk membawa kecemerlangan kepada industri penjagaan kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan telah berjaya mengumpul RM31.1 juta melalui penerbitan 97.22 juta saham baharu yang mana 11.3% daripada hasil telah diperuntukkan untuk pembinaan bangunan kilang baharu.
Selebihnya sebanyak 21.9% akan digunakan untuk penubuhan pejabat pemasaran dan pengedaran baharu manakala 28.9% untuk pembayaran balik pinjaman bank, 27.8% untuk modal kerja manakala baki 10.1% adalah untuk perbelanjaan penyenaraian.
Affin Hwang Investment Bank Bhd merupalan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com








