UiTM perlu masa tiga hingga enam bulan batalkan gabungan fakulti - Alumni Masscomm | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UiTM perlu masa tiga hingga enam bulan batalkan gabungan fakulti - Alumni Masscomm

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Jan - Universiti Teknologi Mara (UiTM) memerlukan tempoh masa tiga hingga enam bulan untuk membatalkan gabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Pengurusan Maklumat. 

 

Naib Canselor UiTM, Prof Dr Datuk Roziah Mohd Janor memaklumkan perkara tersebut dalam pertemuan dengan wakil Persatuan Alumni Masscomm UiTM yang diketuai oleh presidennya, Basree Rakijan di universiti itu, baru-baru ini.


 
Dalam pertemuan itu, Basree meminta UiTM untuk membatalkan penggabungan itu serta-merta berdasarkan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dimaklumkan menerusi surat bertarikh 1 November 2022 kepada universiti tersebut.

 

Beliau berkata, KPT telah memutuskan sama ada UiTM menukar nama gabungan ketiga-tiga fakulti itu kepada Kolej Pengajian Media, Komunikasi, Pengkomputeran dan Informatik atau melakukan penstrukturan semula dengan mengekalkan FKPM seperti sebelum ini.

 

Jelasnya, tindakan pembatalan gabungan itu perlu disegerakan bagi memastikan ia tidak menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran di fakulti tersebut, selain mengelakkan timbulnya pelbagai masalah serta kekeliruan berikutan penggabungan itu. 

 

"Kami menghargai pendirian terbaharu pengurusan UiTM yang menerima pandangan daripada Alumni Masscomm dan bersetuju mengekalkan FKPM.

 

"Saya percaya pengurusan UiTM amat serius dalam menyelesaikan kemelut ini dan jika kita perlu menunggu tiga hingga enam bulan demi kebaikan dan masa depan fakulti, kami memahami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada Oktober lalu, Alumni Masscomm UiTM melakukan bantahan terhadap penggabungan ketiga-tiga fakulti yang kini dinamakan Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media.

 

Pengajian komunikasi fokus kepada melatih pelajar berfikir secara kritikal serta menulis dengan baik dan tidak memerlukan penggabungan dengan bidang sains komputer serta matematik. - DagangNews.com