UiTM perkasa usaha tingkatkan kebolehpasaran graduan melalui penganjuran ekspo kerjaya Cairex 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UiTM perkasa usaha tingkatkan kebolehpasaran graduan melalui penganjuran ekspo kerjaya Cairex 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pusat Kerjaya dan Kaunseling Bahagian Hal Ehwal Pelajar menganjurkan Career and Industrial Relation Expo (CaIREx) 2023. 

 

Penganjuran CaIREx 2023 adalah hasil kerjasama bersama pihak Talenbank yang mana merupakan rakan kongsi rasmi penganjuran ekspo kerjaya tersebut untuk kali ke-17. 

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Mohd Sazili Shahibi berkata, pihak universiti sentiasa berusaha dan komited dalam melonjakkan lagi kebolehpasaran graduan di peringkat UiTM. 

 

Beliau berkata, pada 2022, kadar kebolehpasaran graduan UiTM ialah 89.4%, meningkat sebanyak 6.3% berbanding 2021 iaitu 83.1%. 

 

Katanya, beliau percaya peningkatan ini adalah hasil usaha semua pihak yang bertungkus lumus demi memastikan pencapaian 90% kebolehpasaran graduan UiTM seperti yang disasarkan menjelang 2025.

 

"CaIREx dianjurkan bagi mendedahkan kepada pelajar tentang tren pekerjaan terkini, memberi peluang kepada bakal graduan menghadiri temuduga terbuka selain meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya perancangan kerjaya di peringkat awal melalui aktiviti pembangunan profil kerjaya," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, CaIREx 2023 dirasmikan oleh Pengarah Pusat Kerjaya dan Kaunseling UiTM, dan Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho. 

 

Penganjuran CaIREx pada kali ini disertai lebih daripada 40 syarikat yang menawarkan jawatan kosong dan menjalankan temuduga secara “walk-in” kepada pengunjung. 

 

Antaranya termasuklah Maybank, CIMB, Exxon Mobil, Intel, X-Fab dan Shui Xing Ventures. CaiREx yang berlangsung selama dua hari iaitu 18 dan 19 Oktober 2023 turut dibuka kepada orang awam di sekitar Lembah Klang. - DagangNews.com