UiTM, MBSB Bank bekerjasama perkasa kampus digital Puncak Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UiTM, MBSB Bank bekerjasama perkasa kampus digital Puncak Alam

Prof Dr Roziah Mohd Janor (dua, kiri) dan Datuk Nor Azam M Taib (dua, kanan) pada majlis menandatangani MoU di antara UiTM dan MBSB Bank di Shah Alam, Selangor pada 14 Februari 2023. - Gambar Facebook Bahagian Komunikasi Korporat UiTM

SHAH ALAM 14 Feb - Universiti Teknologi MARA (UiTM) komited memperkasakan kampus Puncak Alam sebagai kampus digital dalam usaha memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi digital.

 

Bagi tujuan itu, UiTM menerusi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM) dan MBSB Bank Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengembangkan kerjasama di antara universiti dan industri serta perkongsian ilmu dan kepakaran antara kedua-dua pihak.

 

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, objektif utama kerjasama itu adalah membangunkan peranan kepemimpinan dari segi penyelidikan bagi pembangunan institusi perbankan dalam kelestarian ekonomi.

 

"MoU ini juga bakal menggalakkan kerjasama sektor awam dan swasta dalam penjanaan pendapatan dan penambahbaikan dari segi kebajikan bagi mempromosi pembangunan sosio-ekonomi komuniti setempat.

 

"Kerjasama ini dapat melebar luas dan merancakkan lagi bidang digital, ekonomi lestari, akademik dan penyelidikan antara kedua-dua pihak serta menjadikan UiTM pemacu dalam teknik penyampaian dan perkhidmatan universiti yang lebih berkesan seiring tuntutan kemajuan teknologi semasa.

 

"Antara program hasil usaha sama UiTM, khususnya Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dengan MBSB Bank ialah program 'ICAN WEEK' yang diadakan dengan jayanya pada November lalu," katanya pada sidang media majlis menandatangani MoU itu, di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Pada masa sama, katanya, MBSB Bank juga menaja RM7,000 bagi bagi menjayakan Persidangan Antabangsa MACFEA-FBM 2022 pada Disember lalu.

 

 

uitm

 

 

"Saya yakin kerjasama ini dapat membuka ruang dan peluang kepada pelajar UiTM untuk menjalani latihan industri dan pelbagai aktiviti bersama MBSB Bank, seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM," katanya.

 

Katanya lagi, MBSB Bank akan menjadi tulang belakang bagi menjayakan usaha pendigitalan kampus menerusi kolaborasi dengan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan yang juga fakulti pengurusan dan perniagaan terbesar di Malaysia, berpangkalan di Kampus Puncak Alam.

 

Terdahulu, Roziah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib menandatangani MoU itu disaksikan Dekan FBM, Prof Dr Firdaus Abdullah dan Ketua Perniagaan Digital MBSB Bank, Zainul Abidin Mustafa.

 

Sementara itu, Nor Azam berkata, dalam landskap ekonomi serba mencabar dan dipacu oleh pendigitalan, adalah tepat bagi MBSB sebagai institusi perbankan Islam bergerak secara proaktif bersandarkan kepada konsep musyarakah.

 

"Ia selari dengan strategi perkembangan perniagaan untuk kepentingan bersama yang merangkumi semua pemegang taruh dari setiap lapisan masyarakat, termasuklah golongan anak muda dan graduan.

 

"Oleh itu, kami sentiasa terbuka untuk turut bersama menganjurkan program keusahawanan termasuk simposium, persidangan dan penyelidikan industri. Kami harap penglibatan MBSB akan semai semangat keusahawanan, terutama menjurus ke arah pendigitalan dalam kalangan pelajar UiTM," katanya.

 

Katanya, menerusi program kerjasama itu, penekanan akan turut diberikan terhadap aspek pembangunan sahsiah individu bagi mencapai pembangunan modal insan secara holistik demi menjamin ekonomi mampan dan kesejahteraan bangsa, agama dan negara.

 

"MBSB juga menyasarkan untuk membawa impak positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar dengan mengguna pakai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dalam operasinya.

 

"MBSB bersedia mencapai matlamat utamanya iaitu menjadi institusi kewangan Islam yang matang sepenuhnya menjelang 2025 atau dijenamakan sebagai Journey25 (J25)," katanya. - DagangNews.com