UDA salur bantuan RM60,000 menerusi program Back to School 2023 di Sabah | DagangNews Skip to main content

UDA salur bantuan RM60,000 menerusi program Back to School 2023 di Sabah

Datuk Ewon Benedick (tiga dari kiri) diiringi Datuk Nordin Murat (dua dari kiri), Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Penampang, Indang Kasi Haji Sibin (tiga dari kanan), Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Rusli Jaafar (kiri), Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak (kanan) dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tampasak Togudon, Florencia Balagut (dua dari kanan) di program UDA Cares; Back to School 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - UDA Holdings Berhad (UDA) menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares; Back to School 2023@Sabah.

 

Agensi itu memperuntukkan RM60,000 untuk program tersebut melibatkan 449 pelajar dari 14 buah sekolah di dua kawasan iaitu Penampang dan Kadamaian. 

 

Setiap pelajar menerima sumbangan berupa beg sekolah, bekas bekal makanan, alat tulis dan subsidi pakaian seragam sekolah untuk persiapan sesi persekolahan yang baharu.

 

Sempena program ini diadakan di Sekolah Kebangsaan Tampasak Togudon, UDA turut menambah baik tandas di sekolah tersebut.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kepada 149 pelajar dari kawasan Penampang hari ini.

 

 

Datuk Nordin Murat (kiri) menyerahkan sumbangan untuk menambah baik tandas sekolah kepada Florencia Balagut (kanan) dan disaksikan Datuk Ewon Benedick (dua dari kiri) dan Indang Kasi Haji Sibin (dua dari kanan).
Datuk Nordin Murat (kiri) menyerahkan sumbangan untuk menambah baik tandas sekolah kepada Florencia Balagut (kanan) dan disaksikan Datuk Ewon Benedick (dua dari kiri) dan Indang Kasi Haji Sibin (dua dari kanan).

 

 

“Inisiatif UDA ini mencerminkan komitmen kementerian dan agensi membantu komuniti memerlukan.

 

“Usaha seumpama ini juga harus dijadikan contoh serta menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan mahupun syarikat swasta yang lain untuk menyantuni komuniti yang kurang bernasib baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany berkata, program tersebut pada tahun ini memberi pendekatan baharu dengan menyantuni komuniti di Sabah. 

 

“Program tahunan ini turut diadakan di Johor, Pulau Pinang dan Kedah. Penganjuran program ini adalah langkah proaktif UDA untuk menyumbang kepada komuniti yang memerlukan di seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka untuk persiapan kembali ke sekolah pada Mac ini," katanya.

 

 

Datuk Ewon Benedick (dua dari kanan) berkesempatan melawat di sekitar Sekolah Kebangsaan Tampasak Togudon.
Datuk Ewon Benedick (dua dari kanan) berkesempatan melawat di sekitar Sekolah Kebangsaan Tampasak Togudon.

 

 

Menurut beliau, usaha tersebut selari dengan penjenamaan baharu agensi iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen mereka memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti seterusnya meniupkan semangat kepada semua pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu.

 

Turut hadir pada program itu termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Suriani Ahmad; Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Hartanah dan Teknikal Kumpulan UDA, Datuk Nordin Murat serta Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA, Radziah Mohamed Fadzil.

 

Sumbangan kepada 300 pelajar di kawasan Kadamaian pula akan diserahkan oleh Ewon di Sekolah Kebangsaan Tamu Darat esok, 1 Februari 2023.

 

UDA merupakan peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. – DagangNews.com