KUALA LUMPUR 6 Sept. - UCrest Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, UCrest Technology Limited (UTL) telah memeterai perjanjian perkhidmatan induk dengan unit Russian Direct Investment Fund (RDIF) untuk pengeluaran vaksin COVID-19, Sputnik V.
Dalam makluman UCrest kepada Bursa Malaysia, UTL hari ini memeterai perjanjian dengan syarikat liabiliti terhad (LLC), 'Human Vaccine' yang dimiliki sepenuhnya oleh dana kekayaan negara Rusia.
Ini merupakan susulan daripada memorandum persefahaman yang ditandatangani pada April 2021 antara UCrest dan RDIF.
Perjanjian itu berkuatkuasa selama tempoh setahun dan boleh diperbaharui untuk setahun lagi.
"Human Vaccine akan membeli vaksin daripada UTL dan penyumberluaran akan dilakukan UTL terhadap pengeluaran itu kepada rakan kongsi pembuatan," kata Ucrest seperti dilaporkan Bernama.
Perjanjian perkhidmatan induk itu dijangka dapat memberikan sumbangan positif terhadap pendapatan pada masa depan dan aset bersih sesaham sepanjang tempoh perjanjian terbabit. - DagangNews.com








