UCrest, Malaysian Genomics bentuk kerjasama untuk pendigitalan perkhidmatan genom di seluruh dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UCrest, Malaysian Genomics bentuk kerjasama untuk pendigitalan perkhidmatan genom di seluruh dunia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai - UCrest Berhad (UCrest) dan Malaysian Genomics Resources Centre Berhad (Malaysian Genomics) mengumumkan kedua-dua pihak menandatangani perjanjian kerjasama mengintegrasikan perkhidmatan ujian genomik ke dalam platform kesihatan digital, iMedic bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan ke peringkat seterusnya.

 

Di bawah perjanjian ini, pusat perkhidmatan genom maya akan dibangunkan pada platform iMedic yang membolehkan perkhidmatan ujian genomik MGRC disediakan kepada hospital dan klinik (B2B), meluaskan akses pasarannya bukan sahaja di Malaysia, tetapi ke seluruh dunia. 

 

Selain itu, perkhidmatan ujian genomik juga akan disediakan kepada pesakit secara langsung (B2C). 

 

Data genomik pesakit daripada keputusan ujian mereka akan disepadukan ke dalam Rekod Perubatan Elektronik (EMR) menjadikannya boleh diakses oleh doktor dan pesakit dalam proses perundingan dan pengurusan, menghasilkan ketepatan yang lebih baik dalam diagnosis dan rawatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin berkata, mereka tidak sabar untuk bekerjasama dengan UCrest kerana platform iMedic akan memberi peluang untuk menjangkau pasaran di luar Malaysia. 

 

"Platform ini juga akan membolehkan kami mengukuhkan saluran B2B dan B2C kami. 

 

"Kerjasama ini boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan akses mudah kepada pakar perubatan kepada pemeriksaan genetik terkini, sebagai sokongan untuk meningkatkan amalan perubatan mereka dan meningkatkan hasil pesakit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

ucrest
(Dari kiri) Pengarah Bebas UCrest Berhad, Datuk Dr. Mohd Fikri Abdullah; Eg Kah Yee, Sasha Nordin dan Ketua Hal Ehwal Perubatan Malaysian Genomics, Dr. Eunice Pui Wan Wen.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif UCrest, Eg Kah Yee pula berkata, perkongsian dengan Malaysian Genomics membolehkan mereka meningkatkan visi untuk menyepadukan perubatan pencegahan dan ketepatan yang lebih baik ke dalam iMedic.

 

"Data genom akan memperkasakan pesakit untuk mencegah dan mengurus penyakit kronik dengan lebih baik dengan perundingan dalam talian doktor. 

 

 

ucrest

 

 

"Kanser, Penyakit Kardiovaskular (CVD), diabetes, asma, apnea tidur dan banyak lagi penyakit kronik boleh dicegah, diurus atau dirawat dengan lebih berkesan dengan penambahan perkhidmatan genom," katanya.

 

Saiz pasaran genomik global bernilai AS$20.1 bilion pada 2020 dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 15.35% dari 2021 hingga 2028. 

 

Pasaran penjujukan genom Asia Pasifik berkembang sebanyak 15.6% setiap tahun sepanjang 2022-2030 disebabkan peningkatan inisiatif pembiayaan kerajaan dalam projek genomik berkaitan rawatan kanser dan penggunaan genomik dalam perubatan peribadi yang menyasarkan pencegahan serta pengurusan penyakit kronik. - DagangNews.com