U Mobile taja pasukan negara ke Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin | DagangNews Skip to main content

U Mobile taja pasukan negara ke Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Syarikat telekomunikasi, U Mobile mengumumkan bahawa ia menjadi penaja utama pasukan Sukan Olimpik Khas Malaysia (SOM) yang akan bertanding di Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin, Jerman pada 17 hingga 25 Jun 2023.

 

Penajaan U Mobile akan menyumbang kepada penghantaran 39 perwakilan, terdiri daripada 16 atlet, enam rakan kongsi, 12 jurulatih, empat pegawai dan seorang profesional penjagaan kesihatan ke temasya tersebut.

 

Atlet Olimpik Khas Malaysia akan bersaing dengan 7,000 atlet dari 190 negara dalam enam acara sukan iaitu renang, bocce, badminton, olahraga, pingpong dan boling.

 

Memandangkan penting bagi perwakilan untuk terus berhubung, U Mobile juga akan menyediakan semua ahli pasukan dengan langganan U Postpaid.

 

Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Navin Manian berkata, pihaknya berharap perkongsian ini akan membantu meningkatkan kesedaran tentang Atlet Olimpik Khas yang luar biasa dan memupuk penyertaan untuk semua peringkat keupayaan. 

 

"Atas semangat itu, kami mengucapkan selamat bertanding kepada pasukan Malaysia pada temasya tahun ini kerana kami pasti akan menyokong mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Delegasi Pasukan Malaysia dan Timbalan Presiden Sukan Olimpik Khas Malaysia, Dr Sivanesan Govindasamy berkata, kerjasama ini berfungsi sebagai platform untuk menguatkan suara perubahan dalam komuniti kurang upaya intelek (ID). 

 

 

umobile

 

 

"Dengan mempamerkan mesej penting ini kepada orang ramai, kami berharap dapat menyumbang kepada masyarakat yang lebih baik yang sejajar dengan dasar kerajaan dan memupuk semangat keterangkuman. 

 

"Bersama-sama, kita boleh mencipta impak yang berkekalan dan membawa transformasi positif untuk individu kurang upaya intelek," katanya.

 

Sukan Olimpik Khas Dunia merupakan temasya sukan khusus bagi orang kurang upaya (OKU) yang mempertandingkan 26 acara termasuk badminton, olahraga, boling dan berbasikal. - DagangNews.com