Tunku Ali Redhauddin dilantik sebagai Pengerusi Astro berkuat kuasa 23 Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

Tunku Ali Redhauddin dilantik sebagai Pengerusi Astro berkuat kuasa 23 Jun 2022

Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - Astro Malaysia Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz sebagai pengerusi menggantikan Tun Zaki Tun Azmi berkuat kuasa 23 Jun 2022.

 

Dalam satu kenyataan, Zaki yang berkhidmat sebagai pengerusi sejak penyenaraian Astro di Bursa Malaysia pada 2012 bersara selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-10 Astro pada 22 Jun 2022.

 

Tunku Ali yang merupakan pengarah bebas bukan eksekutif dalam Lembaga Pengarah berkata, beliau tidak sabar untuk bekerjsama dengan pengurusan bagi menentukan langkah seterusnya selain mengukuhkan kedudukan Astro dalam industri dengan menjadikan pelanggan sebagai teras utama.

 

"Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tun Zaki atas kepimpinan dan sumbangan beliau selama ini," katanya.

 

Tunku Ali memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Sejarah dan Sains Sosial dan Politik dari University of Cambridge serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari John F Kennedy School of Government, Universiti Harvard.

 

Pada 2013, beliau diiktiraf sebagai Pemimpin Global Muda oleh Forum Ekonomi Dunia, dan sebagai Pemimpin Muda Asia 21 oleh Persatuan Asia.

 

Beliau merupakan pengerusi Bumi Armada Berhad dan Taliworks Corp Berhad selain menganggotai lembaga pengarah Bangkok Bank Berhad serta Sun Life Malaysia Assurance Berhad.

 

Sebagai penasihat kanan TPG Capital, beliau menganggotai beberapa lembaga syarikat portfolio termasuk Pathology Asia Holdings, CVS KL, XCL Education Malaysia dan Columbia Asia. - DagangNews.com