Tune Protect dan bolttech jalin kerjasama strategik tawar perkhidmatan penyelesaian perlindungan peranti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tune Protect dan bolttech jalin kerjasama strategik tawar perkhidmatan penyelesaian perlindungan peranti

(Dari kiri ke kanan) Mark Simmons, Rohit Nambiar, CEO Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta dan Pengurus Besar bolttech Malaysia, Bala Rajakely.
oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 31 Mac - Syarikat insurans antarabangsa, bolttech menjalin kerjasama strategik bersama Tune Protect Group (Tune Protect) untuk melancarkan generasi baharu penyelesaian perlindungan peranti dan perkhidmatan sokongan di Malaysia.

 

Menerusi kerjasama itu, bolttech dan Tune Protect menyasarkan untuk menawarkan pelanggan pengalaman yang mudah dan lancar untuk penyelesaian perlindungan peranti.

 

Tune Protect merupakan antara lain memberi perlindungan insurans peranti manakala bolttech ialah ejen yang dilantik dan penyedia perkhidmatan sokongan peranti.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Eropah dan Asia bolttech, Mark Simmons berkata, kerjasama bersama Tune Protect bakal memberikan perlindungan dan sokongan yang menyeluruh kepada pelanggan di Malaysia.

 

“Kami akan terus bekerjasama dengan Tune Protect untuk mencipta penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan gaya hidup moden dan digital pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect Rohit Nambiar berkata, selaras dengan visi strategik mereka sebagai penanggung insurans digital dan gaya hidup, kerjasama dengan bolttech itu bakal menawarkan peluang untuk meluaskan jangkauan pasaran syarikat.

 

“Kami memulakannya terlebih dahulu di Malaysia dan akan terus meneroka peluang lain untuk mengembangkannya di negara lain.” katanya.

 

Data terkini mendedahkan bahawa kadar penembusan pengguna telefon pintar di Malaysia pada tahun 2022 ialah 88.79% daripada populasi dan telah meningkat secara berterusan dalam tempoh lima tahun yang lalu.

 

Ia mengakibatkan lebih ramai pelanggan terdedah kepada risiko harian kerosakan peranti. 

 

Perkongsian antara bolttech dan Tune Protect bertujuan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perlindungan peranti dan perkhidmatan sokongan di pasaran.

 

Perlindungan insurans peranti dijamin oleh Tune Protect dengan memberikan perlindungan untuk skrin retak, kerosakan tidak sengaja dan cecair serta jaminan lanjutan untuk peranti yang diinsuranskan termasuk telefon pintar dan peralatan rumah.

 

Perkhidmatan sokongan peranti, yang disediakan oleh bolttech, termasuk tukar beli peranti, sokongan teknikal 24/7, perkhidmatan concierge pembaikan peranti dan perkhidmatan logistik untuk pengambilan dan penghantaran peranti. - DagangNews.com