KUALA LUMPUR 30 Mac - Triaset telah memeterai kerjasama dengan Co-opbank Pertama (CBP) untuk melaksanakan sistem d’Compass bagi memudahkan kakitangan Jabatan Perbendaharaan menguruskan aktiviti harian mereka dengan lebih efektif dan teratur.
Menurut satu kenyataan hari ini, syarikat penjualan perisian Malaysia itu telah diberi kepercayaan untuk pelaksanaan sebahagian daripada pelan tindakan Teknologi Maklumat CBP.
Ketua Pegawai Eksekutif Triaset, William Lim berkata kerjasama tersebut sejajar dengan hasrat syarikat untuk mengembangkan pasaran produk mereka di dalam industri koperasi di Malaysia.
“Apabila sistem d’Compass siap sepenuhnya, ia akan memberi satu platform digital yang akan memudahkan pengguna bank bertindak lebih efektif di dalam urusan harian mereka.
Disebabkan pasaran perbendaharaan adalah begitu dinamik sekali, pengguna harus membuat satu keputusan yang pantas dan tepat setiap masa,” katanya.
Menurut William, kerjasama tersebut penting dalam usaha syarikat untuk menjadi pengeluar Sistem Pengurusan Perbendaharaan yang terunggul.

Sistem Pengurusan Perbendaraan yang akan dimajukan untuk CBP membolehkan pengguna mendapat semua maklumat harian dengan mudah di hujung jari.
Selain itu, sistem d’Compass juga akan bersepadu dengan Sistem Utama Perbankan (Core Banking), dengan memberi menafaat menyeluruh ke semua pengguna di CBP, meningkatkan prestasi bank ke arah kecemerlangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar mengalu-alukan kerjasama dengan Triaset di dalam projek ini.
“Pendigitalan sistem perbendaharaan CBP adalah salah satu keutamaan bagi pihak bank untuk merealisasikan Aspirasi 5 yang terkandung di dalam Pelan Strategi Lima Tahun CBP.
Dengan pengalaman luas Triaset di dalam di dalam dan di luar negara, dua organisasi ini akan bekerjasama untuk jangka masa yang panjang,” ulas beliau dalam kenyataan yang sama.
Triaset adalah satu-satunya syarikat perisian tempatan yang membangun dan memasarkan Sistem Pengurusan Perbendaharaan yang moden dan dengan bantuan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Triaset sudah pun bertapak dan mempunyai pelanggan di Indonesia, Brunei, Sri Lanka, Qatar dan United Arab Emirates. -DagangNews.com








