Trend Micro sekat 63 bilion ancaman siber pada separuh pertama 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trend Micro sekat 63 bilion ancaman siber pada separuh pertama 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Trend Micro Incorporated, peneraju keselamatan siber global telah menyekat 63 bilion ancaman siber menerusi emel, fail dan URL yang berniat jahat pada separuh pertama 2022, yang menunjukkan peningkatan 54% tahun ke tahun. 

 

Ia juga mendedahkan bahawa sektor kerajaan, pembuatan dan penjagaan kesihatan adalah tiga sektor teratas yang disasarkan dengan kegiatan itu.

 

Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia dan Nascent Countries, Goh Chee Hoh berkata, kumpulan ancaman baharu terus muncul mengembangkan model perniagaan mereka, memfokuskan serangan mereka dengan lebih ketepatan. 

 

"Itulah sebabnya penting bagi organisasi untuk menjadi lebih baik dalam memahami dan melindungi permukaan serangan digital mereka yang semakin berkembang," katanya dalam satu kenyataan itu.

 

Menurut Goh, laporan pusingan pertengahan tahun mereka tepat pada masanya, yang jelas menunjukkan peningkatan ketara dalam serangan siber, termasuk menunjukkan keperluan yang amat diperlukan bagi sektor awam dan swasta mengutamakan keselamatan siber dalam mana-mana perjalanan pendigitalan. 

 

Katanya, pelaburan dan langkah keselamatan siber yang proaktif dan berkesan adalah penting untuk mengelakkan ancaman siber yang sentiasa berkembang dalam memastikan operasi perniagaan yang berterusan untuk memacu dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi.

 

“Untuk menangani risiko baharu atau peningkatan penjenayah siber yang lebih canggih, kami mengalu-alukan inisiatif kerajaan untuk mempertingkatkan peruntukan undang-undang sedia ada untuk melindungi negara daripada ancaman siber. 

 

 

micro
Goh Chee Hoh

 

 

"Kami juga mengalu-alukan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan ke arah memperkukuh daya tahan siber merentasi ekosistem industri negara,” katanya.

 

Goh turut menyuarakan harapannya menjelang pengumuman Bajet 2023 pada 7 Oktober 2022 supaya meneroka inisiatif untuk mengukuhkan postur keselamatan siber negara dengan menekankan kepentingan dan nilai melabur dalam keselamatan siber untuk mengurangkan serangan siber tanpa mengira keadaan ekonomi.

 

Bajet 2023 akan memberi tumpuan terutamanya untuk terus melindungi kesejahteraan rakyat, memastikan kesinambungan perniagaan, dan membina semula daya tahan ekonomi bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dalam jangka sederhana. - DagangNews.com