KUALA LUMPUR 27 April - Prospek pendapatan Top Glove Corp. Bhd. dijangka terus lemah memandangkan kekurangan pemangkin dalam tempoh terdekat, menurut MIDF Research.
Ini mendorong firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Top Glove dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.75 sesaham.
Firma itu berkata, kumpulan telah menangguhkan beberapa rancangan pengembangan berikutan permintaan sarung tangan getah semasa dan ketidakseimbangan bekalan.
Katanya, peralihan kepada fasa endemik dan kadar vaksinasi tinggi juga menyebabkan ketidaktentuan dalam pelan pengembangan kumpulan.
"Bagaimanapun, kami berpendapat, import sarung tangan getah ke Amerika Syarikat (AS) akan terus meningkat selepas sekatan yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) ditarik semula pada September 2021.
"Ini membolehkan Top Glove kembali meraih semula penguasaan pasaran di negara tersebut, dan berpotensi menyambung semula pelan pengembangannya," katanya dalam nota kajian hari ini.
MIDF Research berkongsi pandangan berhati-hatinya terhadap trajektori pertumbuhan kumpulan setelah mengadakan pertemuan dengan pengurusan baru-baru ini.
Dengan peralihan ekonomi global kepada fasa endemik, Top Glove melalui tempoh peralihan ekoran ketidakseimbangan bekalan-penawaran, yang mana ia menjangkakan margin untung bersih dinormalisasikan dalam tempoh terdekat selepas mencapai paras tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22).
Namun begitu, katanya, kumpulan menjangkakan permintaan akan berkembang berikutan tempoh peralihan walaupun dalam kadar sederhana disebabkan kesedaran terhadap penjagaan kebersihan yang tinggi dan penggunaan yang semakin meningkat dalam industri baharu.
Menurut firma itu, kumpulan menjangkakan persaingan sengit berikutan kemasukan pembekal baharu dalam segmen sarung tangan getah nitril.
Pada masa sama, margin getah asli merekodkan prestasi yang lebih baik didorong permintaan kukuh, berbanding margin getah nitril.
"Selain itu, struktur kos untuk sarung tangan nitril telah meningkat, sejajar dengan harga minyak mentah yang lebih tinggi.
"Ditambah dengan persaingan yang lebih tinggi, kos yang dialihkan untuk segmen getah nitril lebih mencabar pada masa ini, sekali gus menjejaskan margin," jelasnya.
Setakat 9.37 pagi ini, harga saham Top Glove menokok 2 sen atau 1.16% kepada RM1.71 dengan 3.36 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








