Top Builders dapat lanjutan 6 bulan kemuka pelan penyusunan semula kepada Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Builders dapat lanjutan 6 bulan kemuka pelan penyusunan semula kepada Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 14 Feb - Bursa Securities telah memberikan tempoh enam bulan kepada syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17), Top Builders Capital Bhd. untuk mengemukakan pelan  regularisasi kepada pihak berkuasa kawal selia.

 

Kumpulan cerucuk dan kejuruteraan diberikan tempoh lanjutan baharu sehingga 29 Jun 2023 untuk menyerahkan pelan penyusunan semula itu kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Securities, menurut kenyataan syarikat itu di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada 3 Januari lalu kumpulan itu telah meminta lanjutan tiga bulan dari 29 Disember 2022.

 

Pada 1 Disember lalu, syarikat tersebut berkata, ia masih dalam proses merangka pelan penyusunan semula untuk menangani keadaan kewangannya.

 

Top Builders disenaraikan dalam kategori PN17 pada Jun 2022 apabila KPMG PLT selaku juruaudit luar kumpulan itu menyatakan keraguan terhadap keupayaan syarikat untuk meneruskan usaha berterusan kerana liabiliti semasa melebihi aset semasa sebanyak RM21.6 juta.

 

Pada masa sama, ekuiti kumpulan pada asas disatukan adalah kurang daripada 25% daripada modal sahamnya.

 

Baru-baru ini, keputusan kewangan syarikat tersebut yang belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) menunjukkan keuntungan bersih RM150.39 juta berikutan skim pengaturan yang diluluskan manakala perolehan syarikat berjumlah RM19.63 juta.

 

Bagaimanapun, penyata kewangannya yang belum diaudit untuk FY22 juga menunjukkan liabiliti semasa melebihi aset semasa sebanyak RM108.55 juta.

 

Top Builders sebelum ini mencatatkan kerugian bersih tiga tahun kewangan berturut-turut iaitu sebanyak RM239.1 juta pada FY21, RM144.35 juta pada FY19 dan RM26.93 juta pada FY18.

 

Pada 30 Disember 2020, kumpulan itu telah menukar akhir tahun kewangannya daripada 31 Disember kepada 30 Jun.

 

Dagangan saham Top Builders telah digantung sejak 8 November tahun lalu sementara menunggu penyerahan laporan tahunan FY21.

 

Kaunter terakhir didagangkan pada dua sen, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM14.1 juta. – DagangNews.com