Tony Fernandes lepaskan pegangan saham QPR, fokus kepada perniagaan digital AirAsia, Capital A | DagangNews Skip to main content

Tony Fernandes lepaskan pegangan saham QPR, fokus kepada perniagaan digital AirAsia, Capital A

Tony Fernandes kini bukan lagi pemilik bersama Queens Park Rangers Football Club selepas melepaskan kesemua pegangan saham di dalam syarikat QPR Holdings Limited. - Gambar/The Mirror
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Capital A Berhad mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Operasinya, Tan Sri Tony Fernandes melepaskan pegangan sahamnya di dalam QPR Holdings Limited iaitu syarikat induk Queens Park Rangers Football Club (QPR).

 

Langkah itu bertujuan memberi fokus kepada usaha mengembangkan perniagaan digital AirAsia dan Capital A.

 

Menerusi langkah itu, beliau tidak lagi memgang sebarang saham dalam QPR Holdings Limited.

 

Sejak memperoleh QPR pada 2011, Fernandes telah mengalami perjalanan yang luar biasa yang dipenuhi dengan cabaran dan kejayaan.

 

Fernandes mengakui tidak dapat melupakan kenangan bersama QPR terutamnya selepas melihat kejayaan pasukan itu kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris di Stadium Wembley dan reputasi QPR sebagai kelab bola sepak yang berorientasikan komuniti adalah sesuatu akan sentiasa dibanggakan.

 

Beliau berkata, walaupun ia adalah keputusan sukar namun ia adalah keputusan jelas bahawa kepakarannya diperlukan di tempat lain.

 

"Memandangkan AirAsia kembali pulih sepenuhnya dan berkembang semula, saya berhutang kepada Allstars dan pemegang saham kami untuk memberikan 100% tumpuan dalam membina semula perniagaan penerbangan dan mengembangkan syarikat digital bagi memberikan nilai yang luar biasa untuk rakyat di ASEAN. 

 

“Kami benar-benar telah melangkah jauh sejak kebelakangan ini dengan meletakkan platform yang betul untuk masa depan yang menguntungkan dan tidak bergantung kepada menjual tiket penerbangan lagi.

 

"Banyak lagi yang perlu kami capai semasa melaksanakan rancangan pengembangan agresif di ASEAN dan seterusnya untuk syarikat penerbangan dan semua portfolio gabungan lain dalam ekosistem kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau juga berhasrat untuk mengalihkan tumpuannya bagi memuktamadkan pelan penyusunan semula untuk mengeluarkan Capital A daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

 

“Saya mahu keluar dari PN17 menuju ke arah yang betul. Memperkukuh kunci kira-kira dan membina model pertumbuhan yang kukuh dalam semua perniagaan kami daripada syarikat penerbangan, logistik, perjalanan dan perniagaan digital fintech dan perkhidmatan penerbangan juga semakin pantas,” katanya.- DagangNews.com