TNB terus rapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB terus rapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat

Ir. Mohamed Ghous Ahmad (kiri) menunjukkan lima kawasan yang menerima capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi di negeri Kedah kepada Datuk Romani Wan Salin (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Kedah, hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiari milik penuhnya, Allo Technology Sdn Bhd (Allo) terus memperkasakan infrastruktur jaringan telekomunikasi dan digital untuk dinikmati rakyat dengan terkini menghubungkan lima kawasan di negeri Kedah.

 

Langkah itu membolehkan 33,000 kediaman di Sungai Petani, Kulim, Kuala Ketil, Mergong dan Aman Jaya yang sebelum ini tidak mempunyai capaian (underserved), menikmati capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini diwakili Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi & Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Romani Wan Salin menyempurnakan Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Kedah, di Alor Setar. 

 

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Juhari Bulat, Ketua Pegawai Kawalselia & Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Allo Technology Sdn Bhd, Ir. Mohamed Ghous Ahmad.

 

Kedah adalah negeri ketiga melancarkan projek kemudahan rangkaian telekomunikasi Allo itu selepas Melaka dan Perak. Sehingga kini 180,000 premis telah dihubungkan dengan rangkaian jalur lebar gentian optik Allo meliputi Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor (Cyberjaya).

 

Muhammad Sanusi berkata, inisiatif Allo tepat pada masanya dengan pembangunan infrastruktur jaringan telekomunikasi dan digital adalah antara agenda utama yang terkandung dalam teras Pelan Pembangunan Kedah 2035.

 

“Ia menjadi penggalak dalam merancakkan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi di negeri jelapang padi ini. Jadi, manfaatkanlah kemudahan ini dengan sebaik-baiknya dalam urusan masing-masing, terutama yang boleh memberi nilai tambah dalam aspek ekonomi serta kesejahteraan kehidupan,” katanya dalam teks dibacakan oleh Romani.

 

 

pm
Datuk Romani Wan Salin (tengah) diiringi Datuk Wira Roslan Ab Rahman (dua dari kanan) dan Ir. Mohamed Ghous Ahmad (kanan) 

 

 

TNB melalui Allo memanfaatkan infrastruktur sedia ada miliknya iaitu talian fiber optik sepanjang hampir 25,000 kilometer yang disokong oleh 472 Pencawang Masuk Utama (PMU) di seluruh Semenanjung Malaysia, bagi mewujudkan jaringan rangkaian telekomunikasi di bawah program JENDELA.

 

Menurut Roslan, inisiatif menyokong JENDELA bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di kawasan yang tidak mempunyai capaian, adalah selaras dengan aspirasi TNB sebagai pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

 

“Program ini turut menyokong aspirasi serta komitmen TNB dalam mengurangkan perubahan iklim melalui penggunaan teknologi digital secara cekap dan meluas dalam urusan seharian manusia,” katanya.

 

 

tnb
Datuk Romani Wan Salin (tengah) bersama-sama Datuk Wira Roslan Ab Rahman (dua dari kanan) dan Ir. Mohamed Ghous Ahmad (kanan) menanam anak-anak pokok sebagai simbolik usaha menyumbang kepada kelestarian masa depan.

 

 

Roslan menjelaskan bahawa pengunaan teknologi digital dalam urusan seharian bagi menggantikan proses sedia ada yang kurang mesra alam, mempunyai sumbangan positif terhadap aspirasi TNB bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

 

Beliau merujuk kepada pelbagai aktiviti dan transaksi secara dalam talian termasuk urusan perniagaan, perbankan, komuniti dan pendidikan, sekali gus tidak perlu lagi melakukan perjalanan dan sebagainya yang hanya menambah pelepasan karbon.

 

Katanya, ia adalah sejajar agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) TNB dalam merangka strategi peralihan tenaga menuju kehidupan lestari sepertimana komitmennya dalam Hala Tuju Kelestarian 2050 TNB (TNB Sustainability Pathway 2050).

 

“Malah, pelaksanaan program merapatkan jurang digital ini adalah antara usaha murni TNB dalam memberi perkhidmatan berasaskan teknologi yang menjangkaui perkhidmatan bekalan elektrik,” katanya.

 

Infrastruktur disediakan Allo menghubungkan 14,745 premis di Kulim, Aman Jaya (9,568), Kuala Ketil (3,695), Mergong (2,574) dan Sungai Petani (2,376). Premis terbabit boleh mendapatkan pembekal perkhidmatan runcit atau Retail Service Providers (RSP) iaitu Maxis, Astro, Digi, Celcom, U Mobile, Freshtel dan Redtone bagi melanggan pakej-paket internet.

 

Pada majlis itu juga, Romani dan Roslan serta tetamu kenamaan bersama-sama menanam anak-anak pokok sebagai simbolik usaha menyumbang kepada kelestarian masa depan. - DagangNews.com