TNB belanja RM1.5 juta untuk Anjung Kasih keempat | DagangNews Skip to main content

TNB belanja RM1.5 juta untuk Anjung Kasih keempat

Ahmad Hushairi Ibrahim (kanan) menyerahkan replika cek RM1.5 juta untuk projek Better Brighter Anjung Kasih YKN Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kepada Nordina Haron (dua dari kiri) di auditorium hospital berkenaan pada 17 Mac 2022 sambil disaksikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dua dari kanan) dan Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan inisiatif menaik taraf infrastruktur penginapan sementara yang selamat lagi selesa untuk ahli keluarga pesakit di hospital-hospital kerajaan, dan yang terkini di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan. 


 
Kemudahan percuma dinamakan Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di hospital itu adalah yang keempat ditaja oleh TNB. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif TNB yang menzahirkan sikap prihatinnya terhadap kesejahteraan rakyat.


 
Beliau berkata, tajaan naik taraf bernilai RM1.5 juta itu meliputi kos baik pulih bangunan, peralatan dan kelengkapan serta biaya penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun mulai 2023 hingga 2028. 


 
“Penyediaan kemudahan tersebut adalah antara komitmen TNB dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat, khususnya para waris dari luar bandar, yang kurang berkemampuan untuk menyewa penginapan serta tidak mampu menampung kos ulang alik pengangkutan bagi rawatan susulan atau menunggu giliran pembedahan.


 
“Tanpa kemudahan ini, ada waris pesakit yang terpaksa menjadikan tepi katil wad, lobi hospital, surau, ruang-ruang menunggu dan kawasan-kawasan lain di persekitaran hospital sebagai tempat untuk berehat dan tidur, sementara menemani ahli keluarga yang sedang menjalani rawatan di wad-wad hospital,” katanya. 


 
Penyerahan cek tajaan disempurnakan di dewan auditorium hospital berkenaan pada 17 Mac lalu, yang dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Rina Mohd Harun. 


 
Turut hadir, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Datuk Dr Selasawati Ghazali; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Ketua Pegawai TNB Global Business Solutions, Ahmad Hushairi Ibrahim. 


 
Menurut Baharin, sebelum ini TNB melalui inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sudah menaja naik taraf tiga rumah transit iaitu Better Brighter Dormitory IJN Foundation di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur (2017), Better Brighter Anjung Kasih YKN @ Hospital Serdang, Selangor (2018) dan Better Brighter Anjung Kasih YKN Hospital Melaka (2020). 


 
“Di IJN sahaja sudah lebih 40,000 ahli keluarga pesakit memanfaatkan kemudahan tersebut, manakala di Hospital Serdang lebih 800 waris pesakit,” katanya.


 
Beliau berkata, penajaan untuk Hospital Raja Perempuan Zainab II dijangka membolehkan kemudahan Anjung Kasih di situ menampung sehingga 60 orang penginap pada satu-satu masa, berbanding ruang sedia ada yang hanya boleh digunakan 20 orang tanpa ruang rehat yang sempurna dan tidur di atas lantai. 


 
TNB adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) pertama yang menaja kerja-kerja naik taraf rumah transit kendalian YKN di hospital-hospital kerajaan, seperti mana budaya korporatnya yang sentiasa menyentuh keperluan rakyat dalam beberapa bidang meliputi pendidikan, sosio ekonomi dan sukan serta alam sekitar. 
 


Beliau berkata, sikap prihatin terhadap kesejahteraan rakyat ini adalah manifestasi usaha memperkasa komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi pertimbangan masa kini para pemegang taruh dan para pelabur. 


 
Katanya, ia menepati agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang antaranya menyasarkan manusia dapat menikmati kemakmuran melalui keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekeliling. - DagangNews.com