TM R&D, ZTE bakal sediakan jalur lebar 50Gbps pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM R&D, ZTE bakal sediakan jalur lebar 50Gbps pertama di Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Telekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan ZTE (Malaysia) Corportation Sdn Bhd bagi meneroka kerjasama dalam penyelidikan rangkaian optik untuk menyediakan pengalaman jalur lebar 50Gbps pertama di Malaysia.

 

Menerusi kerjasama itu, TM R&D dan ZTE akan meneroka keupayaan teknologi akses Rangkaian Optik Pasif (PON) generasi akan datang untuk menyokong pelbagai senario aplikasi.

 

Kedua-dua entiti tersebut juga akan mengkaji kes-kes penggunaan yang boleh memberikan akses jalur lebar ultra kepada kerajaan, perusahaan dan pengguna.

 

 Dr. Sharlene Thiagarajah, (2 dari kiri) dan Steven Ge (2 dari kanan) bertukar-tukar dokumen MoU pada satu majlis yang diadakan baru-baru ini.
Dr. Sharlene Thiagarajah (2 dari kiri) dan Steven Ge (2 dari kanan) bertukar-tukar dokumen MoU pada satu majlis yang diadakan baru-baru ini.

 

Perkara ini juga akan menyokong keperluan perkhidmatan inovatif seperti 5G, Cloud Virtual Reality (VR), perindustrian pembuatan cerdas untuk jalur lebar tinggi, tahap lengahan & keseragaman isyarat (latency & jitter) yang rendah serta penyeragaman masa.

 

Kesemua perkhidmatan inovatif ini akan meningkatkan pengalaman pengguna di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Ekskutif TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah berkata, penyelidikan teknologi masa depan dan inovasi ekosistem baharu yang lebih pintar dengan nilai tambah akan meningkatkan kualiti pengalaman pengguna.

 

Pasukan TM R&D dan ZTE menunjukkan kepantasan ultra yang dapat dicapai dengan teknologi 50GPON.
Pasukan TM R&D dan ZTE menunjukkan kepantasan ultra yang dapat dicapai dengan teknologi 50GPON.

 

“Ini menepati transformasi kumpulan TM ke arah menjadi sebuah syarikat teknologi yang berteraskan insan.

 

“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan pemain global terkenal seperti ZTE untuk menginovasi teknologi PON generasi akan datang sejajar dengan trend global dan hala tuju teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZTE Malaysia, Steven Ge berbesar hati dengan peluang yang diberikan dalam kerjasama tersebut.

 

"Penggunaan perkhidmatan jalur lebar kediaman Gigabit secara meluas di Malaysia pada masa kini dan rangkaian tetap adalah bertepatan dengan evolusi dari GPON ke 10G PON.

 

“Kerjasama ini dilakukan pada masa yang terbaik. Pada masa sama, ia juga menyokong Digital Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun lalu," katanya. – DagangNews.com