TM ONE Smart City Summit 2022 pacu transformasi bandar pintar | DagangNews Skip to main content

TM ONE Smart City Summit 2022 pacu transformasi bandar pintar

Kamaruzaman Umar (tengah) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan TM ONE bagi pelaksanaan tiga perkhidmatan, Smart Traffic Analytics & Recognition System (STARS), Mobile Field Workforce (FORCE) dan Business Process Outsource.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac -  Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi TM ONE menganjurkan City LEAP Summit 2022 bagi memacu pelaksanaan bandar pintar menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan majis perbandaran. 

 

Acara selama dua hari yang diadakan di Genting Highlands itu baru-baru ini merupakan anjuran kali kedua yang telah dihadiri 60 peserta daripada 26 PBT seluruh negara. 

 

Bertemakan ‘Penyelesaian Dibina Khusus Untuk Rakyat’, sidang kemuncak tersebut memfokuskan kelestarian dan meningkatkan kualiti hidup para penduduk, yang merupakan salah satu inisiatif TM ONE untuk memacu transformasi Bandar Pintar negara dengan menyokong aspirasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke arah 'Malaysia Berdaya Huni'. 

 

Program-program khusus telah disusun untuk memperkasa kolaborasi antara PBT bagi menerima trend global terbaharu dan mempercepat pelaksanaan bandar-bandar pintar di kawasan masing-masing.

 

Sidang kemuncak tahun 2022 telah dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Kamaruzaman Umar bersama-sama beberapa wakil utama kementerian dan badan-badan kerajaan termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Unit Perancangan Eknomi Negeri (UPEN) dari pelbagai negeri.

 

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, kejayaan sebuah bandar pintar terletak pada pelaksanaannya dan memerlukan usaha bersama merentasi tiga peringkat dalam kerajaan iaitu kerajaan pusat, negeri dan tempatan. 

 

 

tm

 

 

Beliau berkata, walaubagaimanapun, penglibatan sektor swasta dan para pemain industri juga sama penting dalam ekosistem bandar pintar.

 

"Usaha sama awam dan swasta merupakan salah satu platform paling berkesan untuk memajukan pelaksanaan bandar pintar dan kerjasama lebih erat perlu wujud antara semua pihak berkaitan bagi mempercepat pembangunan bandar pintar di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

tm

 

 

Naib Presiden Eksekutif TM ONE, Shazurawati Abd Karim pula berkata, menerusi acara itu, pihaknya beraspirasi untuk menghasilkan satu pelan tindakan Bandar Pintar teknologi berteraskan insan yang jelas yang boleh dilaksana serta dipacu bersama oleh PBT dan TM ONE pada tahun ini dan seterusnya. 

 

"Kami bersemangat serta bersedia untuk bersama-sama mencipta penyelesaian bandar pintar yang lebih komprehensif bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, menyokong komuniti perniagaan sambal mencapai kelestarian alam sekitar," katanya.

 

 

tm

 

 

Ketua Pegawai Operasi TM, Ir. Ts. Azizi A. Hadi berkata, pembangunan sesebuah bandar pintar yang terancang, bersepadu dan holistik adalah penting dan tepat pada masanya, selain membantu memastikan Malaysia sentiasa seiring dengan pembangunan bandar di peringkat global pada masa kini. 

 

"Pembangunan bandar melangkaui sekadar menjadikan bandar tersebut lebih pintar, kita juga perlu memastikan bandar tersebut menggunakan teknologi secara inovatif dan kreatif bagi mewujudkan Malaysia yang lebih berdaya huni," katanya.

 

 

tm

 

 

Beliau menegaskan bahawa dengan aset-aset sedia ada milik kumpulan TM, termasuklah infrastruktur rangkaian jalur lebar terluas, kabel-kabel dasar laut, menara-menara telekomunikasi, pengkomputeran awan, pusat-pusat data dan keselamatan siber, TM ONE bersedia untuk menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia dan lebih banyak penyelesaian yang efektif kepada PBT. 

 

"Selain itu, dengan perkhidmatan dan penyelesaiannya diselaraskan dengan objektif-objektif Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (MSCF), TM ONE bersedia untuk membantu PBT mencapai kebanyakan daripada indikator standard Bandar Pintar berkenaan (ISO 37122:2019)," katanya. - DagangNews.com