TM One jalin kerjasama strategik dengan USIM untuk sokong transformasi digital universiti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM One jalin kerjasama strategik dengan USIM untuk sokong transformasi digital universiti

Shazurawati Abd Karim (kiri) dan Profesor Datuk Dr. Sharifudin (kanan) dalam majlis menandatangani MoU yang telah dimeterai pada 6 Mac 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Mac - TM One dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan transformasi digital universiti tersebut dan menambah baik pengalaman pelajar dalam pembelajaran digital.

 

TM One, cabang perniagaan-ke-perniagaan TM, akan menyokong perjalanan inovasi pintar USIM, di mana kerjasama tersebut berasaskan tiga teras iaitu penciptaan bersama ekosistem inovasi, pembangunan bakat, dan perkongsian pandangan mengenai pengajian tinggi dan trend perniagaan, ke arah universiti pintar.

 

Dalam kenyataan bersama itu, kerjasama strategik itu membolehkan universiti tersebut menyediakan pengalaman pembelajaran digital yang lebih lancar dan meningkatkan proses pengalaman para pelajar.

 

“Ini termasuk peperiksaan dalam talian, penyepaduan teknologi maklumat (IT), keselamatan data sensitif dan harta intelek, penyelesaian pintar di kampus dan penyelesaian mobiliti yang menyeluruh.

 

Paling utama, kerjasama ini akan membolehkan pendekatan pembelajaran yang lebih kolaboratif antara fakulti dan pelajar USIM, menyelaraskan universiti tersebut dengan keperluan pelajar global masa kini,” tambahnya.

 

Dengan menggunakan rangkaian luas penyelesaiannya, TM One akan menyokong pelan transformasi digital USIM dalam lima kluster berbeza yang terdiri daripada Tadbir Urus Pintar, Infrastruktur Pintar, Perkhidmatan Pintar, Pembelajaran Pintar dan Gaya Hidup Pintar.

 

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Sharifudin berkata kerjasama itu selaras dengan matlamat MyDIGITAL dan aspirasi digital kerajaan di samping memberi manfaat kepada universiti.

 

“Kami akan dapat memanfaatkan kepakaran penyelesaian yang luas, perkhidmatan dan pandangan profesional TM One untuk mengukuhkan keupayaan bakat teknologi dan IT sambil memenuhi keperluan pendidikan digital yang semakin berkembang,” ujar beliau.

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata pihaknya akan menyediakan penyelesaian dan infrastruktur digital yang selamat dan terkini bagi menyokong perjalanan transformasi USIM.

 

“Selaras dengan keperluan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0),  transformasi pintar dan inovatif membolehkan USIM bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi dalam arena global ekosistem pendidikan tinggi digital masa kini.

 

Penyelesaian seperti keselamatan siber, perkhidmatan pintar dan mobiliti akan meningkatkan keupayaan digital institusi, menambah baik pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran penyelidikan dan perkhidmatan pelajarnya,” katanya. -DagangNews.com