KUALA LUMPUR 12 April - TikTok Shop bekerjasama dengan StarVendors untuk Mega Raya Fest 2023 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong dan memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Platform perniagaan sosial media itu dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan mempamerkan pameran jualan langsung pertamanya yang akan dijalankan oleh penjual dalam suasana acara fizikal.
Katanya, ini termasuk vendor seperti Zucca, SimplySiti, Beautyra, Pineng Powerbank, Habib dan Bluecat Malaysia yang menjual pelbagai barangan daripada pakaian hingga kosmetik dan penjagaan kulit, serta elektronik, barang kemas dan aksesori kereta, sempena sambutan Hari Raya.
"Bagi penjual dan pembeli di TikTok Shop, aspek penjualan dan pengendalian langsung bagi TikTok Shop, yang mana pembeli boleh dihiburkan dan membeli produk mereka semua dalam aplikasi.
"Inilah yang menjadikan TikTok Shop unik. Kali ini, mereka akan dapat melihat sendiri penjual beraksi, malah boleh membeli produk melalui sesi 'live' di festival tersebut," katanya.
Katanya, acara yang akan berlangsung selama 100 jam tanpa henti mulai 13 hingga 17 April 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu akan menampilkan seramai 350 StarVendors, termasuk usahawan selebriti terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Aliff Syukri, Ifa Raziah, dan Izara Aishah.
"Memandangkan acara ini akan diadakan pada minggu terakhir Ramadan, ia juga akan menjadi peluang terbaik untuk pembeli yang ingin membeli semua keperluan raya mereka sebelum membuat perjalanan pulang ke kampung mereka tahun ini," katanya.

Untuk maklumat lanjut tentang TikTok Shop, atau ingin mengetahui cara menjadi penjual, boleh melayari TikTok Shop Seller Centre https://seller-my.tiktok.com/account/register. - DagangNews.com








