KUALA LUMPUR 19 Julai - Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini memutuskan tiga pendekatan diambil kerajaan dalam berdepan isu dan cabaran pengambilan pekerja asing di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan akan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung bulan Julai ini.
Beliau berkata, bagi pendekatan kedua, para majikan digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang telah diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.
"Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang membincangkan tiga perkara utama, iaitu pengambilan pekerja asing, mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.
"Kerajaan mendengar keluhan danpandangan dari pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal. Kerajaan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan pihak swasta melalui sesi libat urus yang berterusan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat mengambil maklum prestasi program MyMudah yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

"Namun, masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri. Oleh itu, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah.
"Sebanyak 30% isu-isu yang diterima melalui MyMudah telah diselesaikan dalam masa kurang daripada 60 hari seperti mana yang disasarkan. Sehubungan itu, kerajaan turut menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari juga," katanya.
Justeru katanya, mesyuarat bersetuju supaya MPC menyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya.
Beliau berkata, tumpuan juga perlu diberikan kepada penubuhan MyMudah di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan isu-isu birokrasi di peringkat tersebut dapat ditambahbaik.
Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melaksanakan program-program berkaitan sekuriti makanan negara yang telah dipersetujui kerajaan dengan segera.
"Kerajaan sentiasa berusaha memastikan permasalahan yang dihadapi pemain industri diselesaikan dengan segera melalui usaha sama semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh," katanya. - DagangNews.com








