KUALA LUMPUR 5 Jan - Tidak ada penyelewengan dana pakej rangsangan ekonomi sejak 2020 kerana ia dilaksanakan dengan telus, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, dana pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan ketika tempoh jawatannya sebagai Menteri Kewangan ketika itu tidak menunjukkan sebarang perkara yang luar biasa, lapor Berita Harian.
"Tidak ada apa-apa yang luar biasa (membabitkan pengurusan dana). Namun, saya sedia untuk bekerjasama sekiranya dipanggil oleh agensi berkaitan. Kami sangat telus.
"Seperti saya katakan, kita ada laporan mingguan (Laporan LAKSANA atau Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional). Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini dan ia dikongsikan kepada media, malah orang awam juga boleh mendapatkannya.
"Saya juga beliau belum lagi dipanggil oleh mana-mana agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait siasatan dakwaan penyelewengan dana itu," katanya ketika menjadi tetamu dalam program CNBC, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sudah menyerahkan perkara itu untuk disiasat jabatan berkaitan.
Terdapat juga gesaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu, namun Anwar berkata perkara itu belum dibincangkan Kabinet dan menyerahkan kepada Jemaah Menteri untuk menilai hal demikian.
Sebelum ini juga, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan tidak mungkin menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank, yang bukan di bawah kawalannya.
Beliau juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, kerana jika merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan sebelum ini adalah bernilai RM530 bilion.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasatnya kerana menurutnya semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.
Pada 28 November lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter berkata, perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan itu diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut menolak dakwaan bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022.
SPRM sebelum ini dilaporkan memulakan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik COVID-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.
SPRM dalam kenyataan sebelum ini berkata, Kementerian Kewangan sudah memberikan perincian dana berkenaan di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan COVID-19.
SPRM berkata, sebanyak RM530 bilion diperuntukkan dan daripada jumlah itu RM92.5 bilion adalah membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan dana kerajaan.
SPRM juga dilaporkan akan memanggil Muhyiddin dan dua bekas menteri untuk membantu siasatan itu. - DagangNews.com








