Tiada model baharu, Kenanga Research unjur Tan Chong Motor tidak mampu bersaing dalam pasaran | DagangNews Skip to main content

Tiada model baharu, Kenanga Research unjur Tan Chong Motor tidak mampu bersaing dalam pasaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Dis - Tan Chong Motor Holdings Berhad diunjur tidak dapat bersaing dengan berkesan di dalam pasaran kerana ketiadaan model baharu sedangkan pesaingnya membanjiri pasaran semasa dengan model baharu yang menarik.

 

Kenanga Research berkata, lebih memburukkan keadaan, perniagaan pembuatannya juga terkesan akibat kekurangan cip di kilang utamanya di Jepun tetapi keadaan sudah mula mereda pada 3QFY23.

 

Katanya, kumpulan itu juga mula menghasilkan TQ-Wuling Light Truck N300P di kilang di Da Nang, Vietnam sejak November 2023 dan berharap dapat meningkatkan penggunaan di loji itu kepada 20% hingga 30% pada tahun pertama.

 

Ia akan berusaha memanfaatkan hak eksklusifnya bagi mengedarkan bas King Long (CBU) dan mengeluarkan jenama lain dalam beberapa tahun akan datang.

 

"Tanpa perjanjian CKD yang konkrit bagi kilang Da Nang, kami menjangkakan kumpulan itu akan terus mencatatkan kerugian di Vietnam," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM50.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, berbanding keuntungan bersih RM6.88 juta dalam tempoh sama tahun lalu di tengah-tengan sentimen pasaran yang lemah dipacu oleh tekanan inflasi dan persaingan lebih sengit dalam pasaran luar negara serta tempatan.

 

Pendapatan merosot 10.97% kepada RM649.82 juta daripada RM729.87 juta disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen automotif, demikian menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Mengikut perbanding suku sebelumnya, kerugian bersih kumpulan melebar berbanding RM18.13 juta yang dicatatkan pada suku kedua 2023, walaupun pendapatan meningkat daripada RM619.19 juta.

 

Firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap kumpulan itu kerana kekurangan pelancaran model baharu manakala pesaingnya telah berjaya melancarkan model serba baharu, dan ketidakupayaannya menaikkan harga bagi menangani kenaikan kos pengeluaran, terutamanya dengan kelemahan daripada ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 75 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com