Thailand setuju buka sempadan darat Wang Kelian, Bukit Kayu Hitam bermula 1 April 2022 - PM | DagangNews Skip to main content

Thailand setuju buka sempadan darat Wang Kelian, Bukit Kayu Hitam bermula 1 April 2022 - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KANGAR 25 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Thailand telah bersetuju membuka pintu sempadan darat di Wang Kelian (Perlis) dan Bukit Kayu Hitam (Kedah) bermula 1 April 2022.

 

Ismail Sabri berkata, beliau juga sudah meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk berbincang dengan Kerajaan Thailand untuk membuka pintu sempadan di Padang Besar dan kawasan-kawasan lain di utara.

 

"Semalam, saya telah mengumumkan pembukaan sepenuhnya pintu sempadan Malaysia-Singapura melalui udara, darat dan air. Laluan untuk pekerja yang berulang alik secara harian juga telah dibuka dan dipermudahkan dengan pemansuhan kuarantin dan tidak perlu menjalani ujian PCR atau RTK pada pra pelepasan dan ketibaan.

 

"Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemuilihan negara yang memberi impak positif ke atas kelestarian ekonomi dan kesejahteraan kehidupan Keluarga Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini, hari ini.

 

Dalam majlis itu Perdana Menteri turut melancarkan program Duta Komuniti Keluarga Malaysia berkonsepkan kesukarelawan yang bermatlamat membudayakan kawalan kendiri dalam kalangan komuniti sepanjang fasa peralihan ke endemik.

 

Beliau berkata, duta komuniti itu akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi iaitu sesak dan tertutup, selain memastikan maklumat disampaikan kepada komuniti adalah tepat, terkini dan efektif dengan cara penyampaian bernada lembut, berhemah serta bersopan-santun apabila membuat teguran.

 

"Walaupun tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih terikat dengan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka atau mask di samping penjagaan kebersihan diri. Saya yakin program ini dapat memperkasakan komuniti, bersama kerajaan, mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  dan mengamalkan norma baru demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

 

 

pm

 

 

Beliau berkata, selain itu kerajaan bersetuju untuk menyediakan Skim Insurans Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar.

 

 

pm

 

 

"Di bawah skim ini, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih diberi perlindungan insurans yang melibatkan 268,000 keluarga miskin dengan premium RM50 setahun. Ini melibatkan kos sebanyak RM13.4 juta. Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM10,000, keilatan kekal RM10,000 sementara yang meninggal dunia akibat kemalangan RM20,000.

 

"Pada masa yang sama, PruBSN Takaful menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejak 2018 memberi perlindungan insurans RM30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi eKasih," katanya.

 

Beliau berkata, mulai 1 April, negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ dan keputusan kerajaan amat tepat pada masanya, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kanan) ketika gimik perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis hari ini

 

 

"Ini membolehkan Keluarga Malaysia mengimarahkan masjid dan surau dengan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah tanpa perlu penjarakan fizikal. Had waktu operasi perniagaan juga dimansuhkan dan Keluarga Malaysia yang kesuntukkan masa memasak untuk bersahur bolehlah makan di gerai-gerai yang menyediakan pelbagai jenis masakan, diikuti solat subuh," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, sejak Oktober 2021, kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan Skuad Keluarga Malaysia dengan kekuatan 10,000 anggota yang bertugas menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Beliau turut menyeru agar lebih ramai sukarelawan mendaftarkan diri sebagai ahli Skuad Keluarga Malaysia melalui laman web Keluarga Malaysia. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada seorang penerima ketika perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis hari ini

 

 

Beliau berkata, selain itu kerajaan komited dalam memperkasakan pendapatan kumpulan sasar melalui Program Meningkatkan Taraf Hidup Golongan B40 dalam kalangan masyarakat pertanian agro-makanan.

 

"Menerusi program ini pelbagai jenis bantuan telah diagihkan kepada 39,171 orang penerima dengan peruntukan RM109.7 juta. Manakala 1,300 pesawah telah mendapat manfaat menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi tujuan meningkatkan produktiviti penanaman padi," katanya.

 

Katanya, kerajaan juga sentiasa mendengar keluhan dan permintaan Keluarga Malaysia dan keputusan terkini yang dilaksanakan atas kehendak ramai ialah pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000. - DagangNews.com