Tex Cycle umum pelancaran loji jana kuasa biogas 3.5 MW di Bukit Pasir, Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tex Cycle umum pelancaran loji jana kuasa biogas 3.5 MW di Bukit Pasir, Johor

Loji jana kuasa biogas GLT BP Power di Bukit Pasir, Muar telah memulakan operasi. Gambar Green Lagoon Technology
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Jun - Loji jana kuasa biogas GLT BP Power Sdn Bhd di Bukit Pasir, Johor yang melibatkan usaha sama Tex Cycle Technology (M) Berhad dan Green Lagoon Technology Sdn Bhd telah memulakan operasi.

 

Operasi loji jana kuasa 3.5 megawatt (MW) itu merupakan kemudahan yang menukar efluen atau sisa buangan kilang sawit kepada tenaga bersih iaitu biogas.

 

Ini dapat mengurangkan sisa dan menyediakan sumber tenaga yang mampan manakala loji yang berpusat membolehkan pengurusan lebih cekap pada skala lebih besar.

 

Operasi loji itu dilancarkan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin.

 

glt
Chan Foong Hin bersama Gary Dass dan Chan Sow Keong, CEO Green Lagoon Technology Sdn Bhd pada pelanacaran loji biogas GLT BP Power di Bukit Pasir, Muar, Johor.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass berkata, loji jana kuasa GLT BP merupakan pencapaian penting dalam komitmen berterusan Kumpulan terhadap tenaga mampan. 

 

"Projek ini meningkatkan portfolio kami dalam tenaga bersih dan menekankan dedikasi kami kepada penyelesaian alam sekitar yang inovasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pengarah GLT BP Power Sdn Bhd, Raymond Cheah berkata, loji biogas 3.5 megawatt (MW) berpusat pertama di Malaysia itu telah menyumbang lebih 1.6 juta kilowatt-jam kepada grid nasional sejak April lalu. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tex Cycle ambil alih syarikat pengkhususan pengurusan sisa industri pada harga RM55 juta

 

Katanya, Sime Darby Plantation dan Hok Huat Group merupakan antara rakan kongsi yang sokongan mereka amat penting dalam menggunakan efluen kilang kelapa sawit untuk pengeluaran tenaga bersih. 

 

"Inisiatif ini bukan sahaja sejajar dengan matlamat peralihan tenaga Malaysia tetapi juga menetapkan duluan untuk transformasi sisa organik masa hadapan, memastikan masa depan yang mampan dan lebih hijau untuk negara kita,” jelasnya.

 

Sementara itu, Tex Cycle bersedia untuk mencatat pertumbuhan pesat dalam segmen tenaga boleh diperbaharui menerusi pelbagai insiatif.

 

"Ini termasuk projek kemudahan pengurusan sisa terjadual bersepadu pertama Sabah, pengambilalihan Meridian World Sdn. Bhd serta bekerjasama dengan Green Lagoon Technology Sdn Bhd untuk projek loji janakuasa biogas pertama," ujar penyedia penyelesaian pengurusan sisa dan kitar semula.- DagangNews.com