Zetrix AI, FMFF bekerjasama perkenal sijil asal digital kukuhkan perdagangan Malaysia–China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zetrix AI, FMFF bekerjasama perkenal sijil asal digital kukuhkan perdagangan Malaysia–China

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Nov – Zetrix AI Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai MY EG Services Berhad bekerjasama dengan Persekutuan Penghantaran Fret Malaysia (FMFF) melaksanakan penggunaan penuh sijil asal (Certificates of Origin, COs) digital bagi perdagangan merentas sempadan antara Malaysia dan China melalui platform blockchain ZTrade.

 


Sijil Asal merupakan dokumen sah dalam perdagangan antarabangsa yang mengesahkan negara asal produk, termasuk maklumat pengeksport, barangan.

 

Zetrix AI dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, langkah ini akan menyokong sistem pendigitalan penuh proses pelepasan kastam bagi menggantikan proses manual ketika ini.

 

“Ia juga akan mempercepatkan masa pemprosesan untuk transaksi masuk dan keluar yang melibatkan China.

 

“Zetrix AI telah mendapat pengiktirafan untuk sambungan masa nyata dengan General Administration of Customs China bagi memastikan pemprosesan digital yang lancar,” katanya dalam makluman itu.

 

Kerjasama tersebut adalah susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani tahun lalu, dengan Zetrix AI sebagai penyedia perkhidmatan dan FMFF mewakili pengguna akhir. 

 

Presiden FMFF, Datuk Dr. Tony Chia berkata, semua ahli FMFF akan didaftarkan ke platform ZTrade kerana sistem ini akan mempercepatkan proses kastam, mengurangkan masa pelepasan dan menurunkan kos transaksi keseluruhan bagi ekosistem perdagangan merentas sempadan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata, pencapaian ini adalah langkah penting dalam usaha menubuhkan platform perdagangan digital merentas sempadan, selaras dengan visi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang meningkatkan ketelusan dan kecekapan kos perdagangan.

 

Zetrix AI Berhad mengetuai penggunaan teknologi blockchain dan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam dan swasta di ASEAN, manakala FMFF merupakan persatuan kebangsaan yang mewakili lebih 1,500 ahlinya dan aktif memberi pandangan industri kepada kerajaan. - DagangNews.com