KUALA TERENGGANU 24 Julai – Menjelang penganjuran RXZ Members 8.0 dalam tempoh seminggu lagi, peserta himpunan itu diingatkan agar terus mematuhi peraturan jalan raya bagi memastikan matlamat acara itu berlangsung tanpa sebarang kemalangan maut tercapai.
Kempen keselamatan jalan raya #ZeroKemalanganMaut itu bertujuan menepis persepsi negatif sesetengah pihak sebelum ini yang sering mengaitkan peserta RXZ Members sebagai kurang berdisiplin dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, kempen itu bukan bertujuan menyekat semangat komuniti RXZ, sebaliknya mahu memastikan acara berkenaan terus dikenali sebagai himpunan peminat motosikal yang positif, tersusun dan memberi manfaat kepada negeri Terengganu.
Menurutnya, kejayaan RXZ Members 8.0 bukan hanya diukur menerusi jumlah kehadiran peserta, tetapi juga bagaimana komuniti permotoran itu mampu menunjukkan sikap matang dengan mematuhi peraturan serta menghormati pengguna jalan raya dan penduduk setempat.
Sasar sifar kemalangan maut
Beliau berkata, sasaran utama tahun ini adalah memastikan tiada kemalangan maut berlaku sepanjang perjalanan peserta ke Terengganu mahupun ketika program berlangsung.
ARTIKEL BERKAITAN: 100,000 peminat RXZ bakal gegarkan Terengganu, polis beri ruang dengan syarat peserta jaga disiplin
“Setiap peserta perlu memainkan peranan dengan mengamalkan menunggang motosikal secara berhemah, tidak terbabit dalam aksi berbahaya serta mengelakkan sebarang perlumbaan atau cubaan menguji kelajuan di jalan raya.
“Lebuh raya bukan tempat untuk menguji kemampuan motosikal atau melakukan aksi. Jangan jadikan jalan raya sebagai litar kerana ia membahayakan diri sendiri dan pengguna lain,” katanya ketika dihubungi DagangNews.
Penganjur turut mengingatkan peserta supaya mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sentiasa memainkan peranan memastikan aspek keselamatan serta kelancaran trafik sepanjang acara.
Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin memberi jaminan tiada operasi ‘pukat memukat’ atau sekatan jalan raya besar-besaran akan dilaksanakan terhadap peserta RXZ Members 8.0, namun pihak polis tetap akan menjalankan pemantauan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
Hormati penduduk dan ketenteraman awam
Dalam masa sama, peserta RXZ Members 8.0 diminta menjaga tingkah laku terutama ketika berada di kawasan tumpuan seperti Pantai Seberang Takir, kawasan perumahan serta lokasi penginapan yang disewa sepanjang acara berlangsung.
“Peserta perlu mengelakkan aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam seperti membunyikan ekzos secara berlebihan, melakukan aksi motosikal atau berhimpun sehingga menghalang laluan orang ramai.
“Kawasan berhampiran hospital dan kediaman penduduk perlu diberi perhatian kerana komuniti setempat juga mempunyai hak untuk menikmati suasana yang selesa dan aman.
ARTIKEL BERKAITAN: Penganjuran RXZ Members 8.0 pada 31 Julai 2026 di Terengganu tawar hadiah hampir RM500,000
“Program ini bukan hanya mengenai motosikal, tetapi bagaimana komuniti RXZ menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Kita mahu peserta hadir dengan imej positif dan dihormati,” katanya.
Selain aspek keselamatan, penganjur turut berharap RXZ Members 8.0 dapat memberi impak ekonomi kepada Terengganu menerusi kehadiran 100,000 peserta yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap sektor penginapan, makanan serta perniagaan tempatan.
Beliau berkata, kerjasama erat antara peserta, pihak berkuasa dan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan acara itu berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi.
Menurutnya, komuniti RXZ perlu membuktikan bahawa acara permotoran berskala besar juga mampu dianjurkan secara bertanggungjawab dengan mengutamakan keselamatan, menghormati undang-undang serta menjaga nama baik negeri Terengganu.
“Insya-Allah kita yakin dan percaya semua sahabat RXZ mahu melihat kempen #ZeroKemalanganMaut ini berjaya. Bersama-sama kita jayakan dan buktikan RXZ Members adalah komuniti yang positif serta prihatin terhadap keselamatan,” katanya. - DagangNews.com







