YTL teroka peluang dalam sektor IPP, pusat data & AI di Afrika Selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YTL teroka peluang dalam sektor IPP, pusat data & AI di Afrika Selatan

KUALA LUMPUR 24 Nov – Kumpulan konglomerat antarabangsa YTL Group kini meneroka peluang dalam sektor pengeluar tenaga bebas (IPP), pusat data dan kecerdasan buatan (AI) di Afrika Selatan.

 

Pengarah Eksekutif YTL Power International Bhd, Yeoh Keong Hann berkata, syarikat berharap dapat menubuhkan operasi di Afrika Selatan dalam satu atau dua tahun akan datang, namun bidang ini memerlukan kajian dan penilaian lanjut sebelum dilaksanakan.

 

“Tenaga dan air merupakan asas kepada pembangunan pusat data dan AI, dan adalah penting bagi mana-mana negara mempunyai bekalan stabil untuk memajukan sektor ini. 

 

“YTL memiliki kepakaran dalam pengurusan air melalui anak syarikat, Wessex Water di United Kingdom yang diiktiraf terbaik dalam penarafan di negara itu,” katanya.

 

Ketika ini, YTL sedang berbincang dengan pihak berkuasa Afrika Selatan mengenai kemungkinan menawarkan penyelesaian bersepadu yang bukan sekadar membina satu pusat data atau membekalkan model bahasa besar, tetapi menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk keperluan negara itu.

 

Yeoh kini berada di Afrika Selatan, menjadi sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke tiga negara Afrika, iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.

 

YTL juga antara syarikat yang dijemput secara khusus oleh Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa ke persidangan G20 susulan pertemuan mereka di luar Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

 

Dalam pertemuan itu, Presiden Ramaphosa melahirkan kekagumannya dengan kedudukan Malaysia sebagai hab AI global dan pembangunan model bahasa tempatan YTL iaitu ILMU. 

 

ILMU adalah model AI pelbagai bahasa yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia yang mampu memahami budaya, konteks dan bahasa tempatan termasuk gabungan Melayu-Inggeris atau Manglish. 

 

Tambahnya, YTL bercadang menyesuaikan teknologi ini untuk Afrika Selatan, termasuk AI yang boleh bertutur dalam bahasa Zulu atau gabungan Zulu dan Inggeris.

 

“Selain itu, YTL turut mempamerkan Ryt Bank, bank pertama di dunia yang dikuasakan sepenuhnya oleh AI dan dibangunkan menggunakan teknologi Malaysia.

 

“Lawatan ini adalah sebahagian hasil yang mempunyai potensi perniagaan baharu untuk YTL secara khusus dan syarikat Malaysia secara lebih luas, termasuk dalam sektor teknologi dan penyelesaian infrastruktur di Afrika Selatan,” katanya. - BERNAMA