KUALA LUMPUR 20 Mac - WTEC Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) menjelang tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO WTEC Group merangkumi penerbitan awam sebanyak 90.2 juta saham terbitan yang mewakili 18.8% daripada jumlah saham yang dikeluarkan, serta tawaran jualan 43.2 juta saham sedia ada atau 9.0% daripada jumlah saham yang diperbesarkan.
Daripada 90.2 juta saham terbitan, sejumlah 24.0 juta akan ditawarkan kepada orang ramai melalui undian dan sebanyak 9.6 juta kepada pengarah, kakitangan dan individu yang telah memberi sumbangan kepada kejayaan kumpulan.
Kira-kira 56.6 juta saham terbitan lagi diperuntukkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).
Selain itu, daripada 43.2 juta saham sedia ada yang akan dijual melalui penempatan persendirian, sebanyai 39.8 juta akan disediakan kepada pelabur terpilih dan baki 3.4 juta diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Miti.
Mengikut perjanjian taja jamin tersebut, AIS akan menjamin sebanyak 33.6 juta saham terbitan yang disediakan untuk orang ramai di Malaysia dan peruntukan borang merah jambu.
Pengarah Urusan Kumpulan WTEC, Tan Kok Kheng berkata, perjanjian taja jamin tersebut adalah langkah penting ke arah penyenaraian selain mengukuhkan asas pertumbuhan untuk syarikat.
Katanya, kemampuan pembuatan membolehkan syarikatnya menyokong pelbagai industri antaranya automotif, elektrik dan elektronik dan pembinaan.
"Ia menunjukkan komitmen kami terhadap kebolehpercayaan dan kecemerlangan produk kami," katanya dalam satu kenyataan.
WTEC bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang April 2025, dengan AIS sebagai penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan untuk proses IPO berkenaan.
WTEC Group, melalui anak-anak syarikatnya, mengeluarkan dan menjual produk foam dan bukan foam untuk pelbagai sektor industri termasuk automotif, elektrik dan elektronik, pembinaan, perubatan dan peralatan perlindungan peribadi, serta lain-lain.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun, kumpulan membina reputasi kukuh dan rangkaian pelanggan jangka panjang, yang menjadi rujukan utama dalam menarik dan mendapatkan pelanggan baharu.
Dilengkapi dengan pelbagai jenis jentera dan peralatan, kumpulan juga mampu memenuhi keperluan berbeza dari pelbagai jenis pelanggan dan aplikasi.
Selain di Malaysia, kumpulan turut mengeksport produk ke luar negara seperti Vietnam, Australia, Thailand dan pasaran antarabangsa lain. - DagangNews.com








