KUALA LUMPUR 28 Feb - Syarikat kejuruteraan awam dan kerja tanah, Wawasan Dengkil Holdings Bhd, melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) yang berpotensi mengumpul sehingga RM40.51 juta dari Pasaran ACE.
Pada harga 25 sen seunit saham, IPO itu akan mengumpul sebanyak RM27.01 juta daripada terbitan saham baharu dan RM13.5 juta lagi daripada tawaran penjualan saham sedia ada.
"Secara keseluruhan, penyenaraian ini menawarkan sehingga 30% pegangan dalam syarikat yang berpusat di Selangor ini.
"Permohonan untuk IPO ini akan ditutup pada 11 Mac 2025, dengan syarikat dijadualkan untuk disenaraikan pada 25 Mac 2025," demikian menurut prospektus yang dilancarkan hari ini.
Wawasan Dengkil akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM135.03 juta setelah disenaraikan berdasarkan harga IPO.
Operasi Wawasan Dengkil melibatkan penggalian, pemindahan dan pemadatan tanah dan batu secara besar-besaran untuk membina benteng dan platform, yang menjadi asas bagi kerja-kerja pembinaan.
Syarikat itu juga membina jalan raya, sistem perparitan dan sistem pembetungan.
Pengarah Eksekutifnya, Lim Soon Yik berkata, syarikat kini mempunyai 14 projek yang sedang berjalan dengan pesanan yang belum ditagih bernilai RM378.14 juta dan sedang membida projek bernilai RM1.3 bilion.
Katanya, Wawasan Dengkil turut terlibat dalam projek utama, termasuk fasa ketiga Transit Aliran Ringan (LRT).
"Kami akan terus meneroka projek-projek besar seperti pembangunan hartanah kediaman, komersial dan industri, serta pembinaan jalan raya, lebuh raya dan projek berkaitan utiliti," katanya.
Lebih satu pertiga daripada hasil daripada tawaran awam akan diperuntukkan untuk modal kerja projek.
Syarikat juga memperuntukkan 28% untuk pembelian jentera dan kenderaan komersial antaranya lima jengkaut, satu kren bergerak dan 10 buah lori sampah.
Wawasan Dengkil akan memperuntukkan kira-kira 5% daripada wang yang dikumpul untuk modal kerja umum, manakala selebihnya digunakan untuk membayar pinjaman bank, membaik pulih pejabat dan menampung kos penyenaraian.
Sementara itu, jumlah RM13.5 juta daripada tawaran penjualan saham sedia ada akan diperoleh sepenuhnya oleh pemegang saham yang menjual, Soon Yik dan keluarganya.
M&A Securities adalah penasihat, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO itu, manakala Eco Asia Capital Advisory berperanan sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com








