VSTECS dijangka raih keuntungan memberangsangkan bagi 3Q disokong ledakan pusat data – UOB Kay Hian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VSTECS dijangka raih keuntungan memberangsangkan bagi 3Q disokong ledakan pusat data – UOB Kay Hian

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov – VSTECS Bhd diyakini akan terus mencatat keuntungan memberangsangkan berikutan perkembangan pesat pembinaan pusat data di Malaysia, memandangkan syarikat itu merupakan antara pembekal utama perkakasan teknologi maklumat di negara ini, kata UOB Kay Hian.

 

Firma penyelidikan itu menjangka VSTECS akan mengumumkan prestasi suku ketiga yang memberangsangkan minggu depan, dengan keuntungan bersih dianggarkan antara RM21.4 juta hingga RM23.6 juta bagi tempoh Julai-September.

 

“Jangkaan peningkatan sehingga 17% suku ke suku dan setinggi 21% tahun ke tahun. Selain itu, prestasi syarikat dijangka lebih kukuh pada suku terakhir tahun ini, susulan perbelanjaan pengguna dan korporat yang biasanya memuncak pada hujung tahun,” kata UOB Kay Hian dalam nota kajiannya.

 

Seiring prospek optimis tersebut, UOB Kay Hian turut menaikkan harga sasaran saham VSTECS kepada RM5.10 daripada RM4.38 sebelum ini dan mengekalkan saranan beli terhadap kaunter itu. 

 

Saham VSTECS telah melonjak lebih 50% sejak paras terendah pada April lalu ketika pasaran global berdepan ketidaktentuan akibat isu tarif perdagangan.

 

Peningkatan itu didorong oleh permintaan kukuh bagi perkakasan IT berkaitan projek pusat data.

 

VSTECS dijangka terus menikmati momentum pertumbuhan sehingga 2026 apabila pusat data sewaan di Malaysia memasuki fasa kelengkapan dalaman, yang memerlukan perolehan besar-besaran peralatan IT seperti rangkaian, pelayan dan sistem storan. 

 

Menurut UOB Kay Hian, syarikat itu kini berada dalam fasa pertumbuhan yang kukuh, didorong keupayaannya merebut peluang pasaran pusat data tempatan. - DagangNews.com